Disclosure Day: Pelik! Antara filem sci-fi terbaik Spielberg

TIDAK meletakkan harapan tinggi terhadap filem terbaharu sutradara Steven Spielberg, namun usai menghabiskan durasi kira-kira 2 jam 25 minit, karya bertemakan sains fiksyen itu ternyata mempunyai kualiti tersendiri.

Disclosure Day menandakan kembalinya pengarah legenda Steven Spielberg ke genre sains fiksyen yang telah menjadikan namanya terkenal seantero dunia.

 Filem ini menggabungkan elemen misteri, konspirasi dan kehidupan makhluk asing dalam sebuah kisah yang penuh debaran serta emosi.

Diterajui Emily Blunt dan Josh O’Connor, Disclosure Day mengetengahkan usaha membongkar rahsia besar kerajaan Amerika Syarikat tentang kewujudan makhluk asing yang disembunyikan selama puluhan tahun oleh sebuah organisasi berpengaruh.

Kekuatan

Kekuatan utama filem ini terletak pada arahan Spielberg yang berjaya membina suasana penuh suspens dan rasa ingin tahu. Babak-babak aksi berskala besar termasuk adegan kereta api yang menjadi antara sorotan utama dipuji ramai pengkritik. 

Dari segi terjemahan karakter, Emily Blunt melunaskan tanggungjawabnya dengan cukup sempurna. Itu termasuklah lontaran dialog, riak wajah dan permainan emosi yang meninggalkan dampak kepada audiens. 

Margaret (lakonan Emily Blunt) bersama regunya, Daniel Kellner (Josh O’Connor menampilkan sinergi yang luar biasa dalam Disclosure Day.

Tidak keterlaluan andai Blunt menerima pujian meluas menerusi wataknya sebagai Margaret Fairchild — seorang ahli meteorologi yang secara misteri mempunyai kaitan dengan fenomena luar angkasa. 

Buat penulis secara peribadi, persembahannya dalam Disclosure Day antara yang terbaik dalam kerjayanya. 

Dalam pada itu, regunya Josh O’Connor yang memainkan peranan sebagai Daniel Kellner iaitu seorang pemberi maklumat yang cuba mendedahkan rahsia kewujudan makhluk asing juga tidak kurang hebatnya. 

Hasilnya, wujud sinergi lakonan antara Blunt dan O’Connor yang cukup menangkap perhatian dalam Disclosure Day

Kemenjadian serba-serbi

Daripada dua jiwa yang tidak langsung mengenali antara satu sama lain kepada kemenjadian watak yang dicernakan amat berkesan dari semua aspek. 

Walaupun begitu, penulis bersetuju dengan sesetengah pengkritik yang berpendapat jalan cerita filem ini agak tidak sekata dan babak penutupnya mungkin tidak memenuhi jangkaan penonton. 

Daripada kerjaya hebat sebagai wartawan ramalan cuaca kepada seorang wanita yang mempunyai kuasa ‘luar biasa’ — itulah yang terjadi kepada Margaret Fairchild.

Kendatipun, mesej tentang kebenaran, empati dan kedudukan manusia dalam alam semesta menjadikan Disclosure Day lebih daripada sekadar filem makhluk asing biasa. 

Ia bukan filem yang jual mitos makhluk asing semata-mata tetapi terikat dengan banyak perihal yang masih tidak digembar-gemburkan kepada dunia. 

Barangkali majoriti penduduk dunia tidak percaya tentang kewujudan makhluk asing. 

Bagaimanapun, bukan itu fokal kisah Disclosure Day. Apa yang penting adalah sama ada makhluk asing itu wujud atau sebaliknya, manusia seharusnya berbaik-baik dengan apa yang berada di sekeliling.

Secara keseluruhannya, Disclosure Day ialah sebuah filem sains fiksyen yang menghiburkan, visualnya memukau dan sarat dengan sentuhan klasik Spielberg. Ia mungkin bukan karya terbaik beliau, tetapi tetap antara filem menarik 2026. 

Bukan hanya kisah makhluk asing semata-mata, Disclosure Day sarat dengan pengertian mengesankan yang membuatkan audiens berfikir di luar kotak kelaziman.



Filem: Disclosure Day
Pengarah: Steven Spielberg
Pelakon: Emily Blunt, Josh O'Connor, Eve Hewson, Colin Firth
Sumber: United Pictures
Tayangan: 11 Jun 2026
Bintang: ★★★★☆
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok