MENGIMBAU memori lalu, pelakon Aqasha mengakui kerap bekerja dengan Allahyarham Mamat Khalid untuk beberapa filem di bawah syarikat milik produser dan sutradara terkenal itu.
Aqasha atau nama lengkapnya Firdee Akassya Rosli, 44, berkata, tugasan belakang tabir dilakukan bagi penataan audio filem arahan Mamat kebanyakannya tidak menggunakan nama sendiri.
Aku pasti ramai tak tahu aku ada hubungan yang unik dengan arwah abang Mamat Khalid.
“Beberapa filem beliau telah ditata audionya oleh aku. Cuma aku tak letak nama sendiri kecuali filem Rock Bro,” katanya di platform Threads.
Pelakon filem Air Force The Movie: Danger Close itu mendedahkan mempunyai kepakaran lain dalam arena seni selain menyanyi dan berlakon.
Ini barang satu Malaysia tak tahu. Deme (mereka) ingat aku berlakon dan menyanyi sahaja. Tidak, sebab itu aku tak segan silu menggunakan gelaran ‘anak seni’.
“Aku dah pusing keliling. Dari depan ke belakang kamera. Pusingan yang lengkap,” ujarnya.
Hantaran tersebut meraih respons ramai yang kagum dengan kebolehannya di belakang tabir produksi.
“Abang memang anak seni, tanpa keraguan,” tulis seorang netizen.
Lebih 25 tahun menceburi dunia seni, Aqasha yang dikenali sejak sekitar awal tahun 2000 semakin menyerlah menerusi filem Embun yang meletakkannya sebagai calon Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16.
Finalis Bintang RTM ke-12 (1999) dan peserta Gegar Vaganza Musim empat (2017) yang pernah menghasilkan dua album studio itu juga meraih pujian menerusi watak Habiburrahman dalam drama bersiri Walid. – HIBGLAM
