Rumah Johnny Depp diceroboh, jiran yang cemas

KAWASAN kejiranan kediaman aktor Hollywood, Johnny Depp di Los Angeles tiba-tiba menjadi cemas apabila dikatakan sedang berdepan gangguan individu tidak dikenali.

Menurut laporan, seorang wanita yang sudah beberapa hari berlegar-legar di hadapan rumah agam milik aktor berusia 62 tahun itu didakwa bertindak agresif dengan cubaan menceroboh pada petang Selasa lalu.

Begitupun, sebaik polis tiba kelibat individu yang dikatakan turut merakamkan video di kawasan West Hollywood itu sudah tidak kelihatan.

Jiran yang menghubungi polis turut mendakwa wanita sama juga pernah beberapa kali kembali ke rumah agam Depp sepanjang hujung minggu lalu tanpa diketahui tujuannya.

Dia dipercayai cuba meninggalkan mesej buat pelakon berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan tetangga dan pengawal keselamatan.

Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan pihak berkuasa juga tidak menemui sebarang kerosakan pada hartanah tersebut.

Walaupun tiada motif jelas kunjungan tetamu tidak diundang itu, situasi berkenaan masih menjadi kerisauan orang terdekat Depp kerana ini bukan kali pertama kediamannya dijadikan sasaran. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok