‘Memasak sekadar isi masa terluang, terapi saya’

PERKONGSIAN konten memasak di laman sosial dipersoal, penyanyi dan komposer, Aina Abdul menjelaskan aktiviti di dapur merupakan terapi serta hobi ketika ini.

Aina atau nama lengkapnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berharap orang ramai tidak terlalu memikirkan perkara yang dilakukan secara santai bagi meredakan tekanan.

Tidak perlu fikir dengan mendalam sangat. Itu (masak) sekadar mengisi masa terluang saya.

“Memasak adalah terapi saya pada ketika ini,” katanya menerusi hantaran di platform Threads.

Dalam perkongsian sama, penyanyi lagu Berjauh-an itu turut mengakui sesi secara langsung di akaun sosial miliknya juga antara cara untuk berinteraksi dengan peminat.

“Secara tidak langsung saya dapat berhubung dengan peminat yang selalu minta saya buat ‘live’.

Saya kurang pengetahuan memasak jadi kesilapan memang tidak dapat dielakkan, itu sahaja,” ujarnya.

Penjelasan tersebut dilakukan sebagai makluman terhadap pertanyaan seorang individu berkenaan kekerapannya melakukan siaran langsung memasak di media sosial.

Pengguna terbabit mendakwa keliru dengan konten atau kandungan melibatkan aktiviti dilakukannya itu yang disifatkan tidak selari dengan imej penyanyi.

Respons Aina meraih maklum balas positif netizen yang rata-rata memahami kecenderungannya terhadap hal yang menggembirakan diri sendiri.

“Saya pun sama. Memasak adalah terapi saya tetapi tidak semua orang faham. Apabila memasak jadi gembira sangat,” tulis seorang pengguna Threads. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok