Menantu saya kanser payudara tahap empat – Sheeda

BELUM pun reda sedih kehilangan anak tercinta dua tahun lalu, penyanyi dangdut, Sheeda sekali lagi diuji apabila mendedahkan menantu kesayangannya kini disahkan menghidap kanser payudara tahap empat.

Sheeda atau nama sebenarnya Sayyida Beevi, 62, meluahkan rasa hiba memandangkan semangatnya baru sahaja mahu pulih daripada trauma kehilangan anak akibat penyakit kronik.

“Selepas anak saya meninggal dunia, saya panggil anak lelaki tinggal bersama untuk menemani saya.

“Menantu dan cucu pun sama, bila mereka ada terubat rindu saya.

“Tapi Allah uji sekali lagi apabila menantu saya disahkan menghidap kanser payudara tahap empat,” katanya usai membuat persembahan bersama Ammara di Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), malam tadi.

Kongsinya lagi, kehilangan anak dua tahun lalu meninggalkan kesan mendalan buat dirinya sehingga mencetuskan trauma teruk.

“Saya rasa ‘lost’, mental, tak boleh jumpa orang dan trauma dengan hospital serta ambulans.

“Saya macam nak gila tapi selepas itu saya mula pulih,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia mengakui kenangan bersama anaknya tidak pernah padam.

“Dekat sini (hati) sangat sakit dan sentiasa sakit.

“Memori dekat anak (tak lupa) sebab dia satu-satunya yang duduk dengan saya tiba-tiba tiada,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, anak ketiga Sheeda iaitu Nurfazlinda Ahmad Fazli dilaporkan meninggal dunia akibat kanser hati pada 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok