SANGGUP melakukan apa sahaja demi anak tercinta, penyanyi dan usahawan Mila Jirin menganggap ibunya, Zarinah Haron pernah menjadi hero dalam hidupnya apabila sanggup menunggang motosikal selama satu jam untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Menurut Mila, 38, momen hiba tersebut membuatkan dia terhutang nyawa seumur hidup dan merasakan ibunya menjadi asbab dia masih bernyawa pada hari ini.
“Ini bukan sekadar cerita tentang skuter merah jambu tetapi mengenai satu jam keberanian mak.
“Waktu umur 15 tahun, saya sakit teruk. Mak bawa ke Hospital Besar Pulau Pinang dari Sungai Batu hampir, satu jam perjalanan dengan menaiki skuter merah jambu.
“Sepanjang jalan, badan saya makin lemah dan menangis. Mak cuma cakap satu ayat ‘peluk mak kuat-kuat’ dan saya peluk sekuat yang saya mampu,” katanya dalam Instagram.
Paling membuatkan hatinya terusik apabila ibunya meminta dipeluk sekuat hati sepanjang berada di atas motor sebelum tiba di hospital dan menerima pembedahan segera.
“Separuh jalan, saya dah tak tahan dan mak berhenti. Saya terduduk di tepi jalan, badan terlalu lemah dan muntah-muntah sebelum papah saya naik semula atas skuter.
Sekali lagi mak cakap ‘peluk mak kuat-kuat’.
“Sampai saja di hospital, saya terus ditolak ke wad kecemasan, malam itu juga dibedah segera sebab doktor maklumkan apendiks pecah.
“Bila fikir balik, saya sedar bahawa mak bukan sekadar bawa saya ke hospital tetapi sedang selamatkan hidup saya,” katanya lagi.
Tambah bekas juara Akademi Fantasia musim kelima itu, dia tidak akan sesekali melupakan segala penat lelah ibunya yang berjuang sehabis baik untuk menyelamatkan nyawa anak sendiri.
“Mak waktu itu baru 31 tahun tetapi sudah jadi perempuan paling kuat yang saya kenal. Meredah kesesakan jalan demi seorang anak
“Terima kasih, mak. Jasa mak tak akan mampu saya bayar,” ujarnya.
Perkongsian Mila sempena Hari Ibu iyu menerima pelbagai reaksi positif netizen sehingga ada yang menitiskan air mata kerana mengenangkan pengorbanan seorang ibu kerana sanggup melakukan apa sahaja demi anak. – HIBGLAM
