Bukan ‘kosong’, 5 bintang Korea pensyarah berwibawa

GEMERLAP dunia hiburan tidak sekadar di pentas mahupun layar televisyen, malah sebahagian selebriti Korea melangkah lebih jauh, menyebar ilmu serta pengalaman kepada generasi muda di institusi pengajian tinggi.

Berbekalkan pengalaman, mereka membawa perspektif sebenar industri ke dalam bilik kuliah. Tidak berpasakkan kepada teori semata-mata, selok-belok dunia seni disampaikan secara praktikal, menjadikan sesi pembelajaran lebih hidup dan menyeronokkan.

Ada hadir sebagai pensyarah, tidak kurang juga diangkat sebagai profesor, kredibiliti mereka bukan calang-calang.

G-Dragon

Nama besar dalam dunia muzik, G-Dragon membuktikan pengaruhnya melangkaui pentas apabila dilantik sebagai pensyarah jemputan di Korea Advanced Institute of Science & Technology (KAIST).

Ketua kumpulan BigBang itu mengajar kursus berkaitan kepimpinan untuk pelajar sarjana muda dan pascasiswazah.

Sejak 2024 hingga pertengahan 2026, idola berusia 37 tahun itu berkongsi perspektif unik sebagai seniman global dalam

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, satu gabungan luar biasa antara seni dan teknologi.

Pelantikannya turut mencerminkan usaha Korea memperkukuh hubungan inovasi teknologi dan budaya pop, menjadikan hiburan sebagai aset strategik di pentas global.

Bae Jong-ok

Pelakon senior Bae Jong-ok bukan sahaja dikenali sebagai legenda layar, malah dia juga merupakan figura akademik berwibawa.

Selepas meraih gelaran doktor dari Korea University, aktor berusia 61 tahun itu melangkah ke dunia pendidikan sebagai pensyarah jemputan di Chung Ang University sejak 2003.

Mengajar pengajian teater dan filem, Jong-ok membawa gabungan teori dan pengalaman praktikal hasil puluhan tahun bergelumang dalam dunia lakonan.

Keupayaan mengimbangi dunia seni dan akademik menjadikan beliau contoh unggul buat pelajar seni.

Aura profesionalisme serta kredibiliti menjadikan setiap sesi kuliah ibarat kelas eksklusif bersama ‘living legend’ industri hiburan Korea.

Bobby

Rapper berbakat besar ini mencipta kejutan apabila melangkah ke dunia akademik sebagai pensyarah jemputan. Dikenali menerusi program Show Me the Money 3, Bobby membawa kredibiliti tersendiri ke bilik kuliah.

Pada Mei 2025, anggota kumpulan iKON itu menyampaikan kuliah umum di Universiti Dongguk dengan topik Fandom Technology, satu bidang baharu mengupas hubungan artis dan peminat dalam era digital.

Pengalaman sebagai idola aktif membolehkan bintang berusia 30 tahun itu berkongsi realiti industri secara terus. Pendekatan santai tetapi sarat isi menjadikan sesi kuliah lebih dekat dengan generasi muda.

Kehadirannya bukan sahaja sebagai pensyarah, sebaliknya inspirasi buat pelajar memahami kuasa komuniti peminat dalam membina kerjaya seni.

Yoo Yeon-seok

Pelakon versatil ini melakar satu lagi pencapaian apabila dilantik sebagai profesor khas di Sejong University. Menggunakan nama sebenar Ahn Yeon-seok, dia mengajar pelajar tahun akhir dalam bidang filem dan seni.

Subjek Persembahan Multimedia menjadi fokus utama, memberi pendedahan kepada pelajar tentang keupayaan adaptasi pelakon merentas pelbagai medium seperti drama, filem, teater hingga muzikal.

Pengalaman luas termasuk penglibatan dalam produksi muzikal seperti Hedwig memperkukuh kredibilitinya sebagai tenaga pengajar. Setiap kuliah sarat dengan teknik, disiplin serta realiti dunia lakonan profesional.

Kehadiran aktor berusia 42 tahun itu sebagai profesor bukan sekadar gelaran tetapi bukti bahawa seni dan pendidikan mampu bergabung membentuk generasi pelakon lebih matang dan berdaya saing.

Changmin

Nama penyanyi Changmin bukan asing dalam dunia vokal, namun sisi akademiknya jarang diperkatakan. Sebelum bergelar idola bersama kumpulan 2AM, dia terlebih dahulu mengasah bakat sebagai jurulatih vokal.

Pengalaman tersebut membuka laluan baharu apabila Universiti Sohae melantiknya sebagai profesor dalam bidang Pendidikan Muzik Gunaan pada 2014. Keputusan itu bukan sahaja penghormatan, malah mengiktiraf kepakarannya dalam teknik vokal.

Di bilik kuliah, penghibur berusia 40 tahun itu menekankan disiplin, teknik pernafasan serta kekuatan emosi dalam nyanyian. Pendekatannya lebih mendalam, menggabungkan teori muzik dengan pengalaman pentas sebenar.

Peranannya sebagai profesor membuktikan perjalanan seni mampu berkembang ke arah pendidikan, sekali gus melahirkan generasi penyanyi lebih berilmu dan berjiwa besar. – HIGBLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok