BUKAN semua legenda dilahirkan untuk sekadar dikenang, ada yang terus berusaha keras, teguh berdiri, malah terus menggoncang jiwa peminat walau usia sudah melangkah jauh meninggalkan zaman gemilang.
Itulah naratif Datuk Francissca Peter, pemilik suara emas yang tidak hanya menyanyi, tetapi mengukir sejarah panjang dalam landskap muzik tanah air.
Lebih empat dekad mengemudi perjalanan seni, nama Francissca berdiri sebagai institusi tersendiri.
Dari gandingan ikonik bersama Royston Sta Maria hingga menjuarai Anugerah Juara Lagu pertama pada 1987 menerusi karya malar segar Sekadar Di Pinggiran, beliau membuktikan vokalnya utuh menyelinap ke hati pendengar.
Dengan lebih 30 album, puluhan lagu menduduki carta nombor satu, serta ratusan rakaman sepanjang hampir 50 tahun perjalanan seni, kredibiliti penyanyi itu tidak perlu dipersoalkan.
Suaranya tidak hanya dikenali, tetapi dirindui merentas generasi termasuk Gen Z yang kini mula ‘menemui semula’ magisnya dalam platform digital.
Bertemu empat mata dengan figura legenda itu, penulis mengajukan persoalan yang sering berlegar dalam kalangan peminat, mengapa masih belum mengadakan konsert berskala besar, sedangkan ramai rakan seangkatan kembali menggempur pentas?

FRAN sering didatangi pelbagai pihak yang berminat menganjurkan konsert buatnya, namun setakat ini semuanya sekadar janji tinggal janji.
Show me the money
Tenang seperti biasa, pemilik nama sebenar Luciana Francissca Lucian Gabriel Peter itu tidak menafikan hasrat tersebut sudah lama terpendam, namun belum menemukan jalan.
Katanya, banyak pihak tampil menyatakan hasrat, namun kebanyakannya hanya tinggal janji.
Saya memang mahu buat konsert tapi ‘show me the money’. Bukanlah terlalu bergantung kepada penaja, tetapi kita perlukan penganjur yang benar-benar berminat. Ramai peminat mahu, kawan-kawan pun sering bertanya, bila.
“Memang saya juga mahu, tetapi tidak tahu bagaimana untuk menggerakkannya. Saya tiada agensi besar atau pasukan yang menguruskan perkara itu. Ramai datang kata mahu buat konsert saya, tetapi akhirnya tiada apa-apa.
“Ada yang suruh saya minta dana kerajaan. Saya pernah teliti semua itu, sampai baca setiap syarat dengan sangat terperinci. Bukan semudah disangka. Banyak perkara perlu dipertimbangkan. Jadi saya serahkan kepada sesiapa yang benar-benar mahu melakukannya. Kalau ada, saya sedia,” katanya eksklusif kepada HibGlam.
Tidak terlalu memilih, wanita kelahiran Ipoh Perak itu juga turut terbuka dengan pelbagai konsep persembahan, termasuk skala lebih kecil yang boleh dibawa ke pelbagai lokasi.
Malah, cadangan pembiayaan secara crowdfunding juga pernah muncul, namun membuatkannya berfikir panjang.
“Saya tidak kisah jika konsert itu dalam bentuk beli meja atau ruang lebih kecil. Yang penting, kita boleh bergerak dan bawa persembahan ke mana-mana. Tetapi semua itu tetap memerlukan sokongan kewangan dan pengurusan yang rapi.
Saya belum pernah buat crowdfunding. Terus terang, saya takut. Kita tidak tahu siapa yang benar-benar jujur. Takut ada pihak ambil kesempatan, kononnya buat untuk saya, tetapi sebenarnya untuk diri mereka sendiri. Dunia sekarang ini banyak risikonya.
“Saya sedang berusaha, bekerja sekeras mungkin dan cuba menyimpan. Apa pun, saya percaya jika rezeki itu ada, konsert itu akan berlaku juga satu hari nanti,” ujarnya.

DALAM soal penghasilan lagu baharu, Fran tidak tangkap muat, tidak mahu lagu kelas kedua sebaliknya karya kelas A yang harus setanding tahap kariernya dalam industri.
Cari material
Menutup bicara tentang konsert yang masih tergantung di langit harapan, penulis mengalih soalan perihal bilakah karya baharu bakal lahir daripada suara emas itu, setelah kali terakhir muncul sekitar 2023 menerusi lagu raya.
Jawab penyanyi yang mesra disapa Fran itu, menghasilkan lagu bukanlah semudah melepas batuk di tangga, apatah lagi demi memenuhi tuntutan semasa. Dia sedar, reputasi puluhan tahun tidak boleh dipertaruhkan dengan karya separuh masak.
“Memang ada banyak lagu. Ramai penulis hantar karya, termasuk komposer muda dari Sabah dan Sarawak. Saya sangat terbuka menerima semua itu.
Saya tak mahu ambil jalan singkat dan mahu beri yang terbaik untuk peminat. Mereka sudah biasa dengan lagu-lagu hebat saya. Takkan saya sekadar keluarkan satu single ala kadar?
“Tidak. Saya tak mahu karya kelas kedua. Saya mahukan ‘A-cut’, bukan ‘B-cut’,” tegasnya.
Paling penting, dalam dunia muzik hari ini yang semakin rancak berevolusi, Juara Asian Song Festival 1987 itu tidak menolak eksperimen, namun tetap teguh dengan akar balada yang menjadi nadi kekuatannya sejak dahulu.
“Ramai minta saya ‘remake’ balik lagu Sekadar Di Pinggiran. Saya rasa balada tetap balada. Saya cintakan balada yang bagus. Lagu rancak pun boleh, saya tak kisah gabungan kedua-duanya.
Yang menarik, album Computer Music (terbitan 1984) kini kembali popular dalam platform digital seperti Spotify dan YouTube. Pendengarnya pula dari usia 18 hingga 50 tahun, lebih muda daripada saya. Itu buat saya bangga dan terharu.
“Dahulu orang kata album itu terlalu advanced, tak diterima sangat. Tapi sekarang generasi muda pula kata album itu mendahului zaman. Perasaan itu sukar digambarkan.
“Apa yang saya mahu cakap di sini, kadang-kadang kita hasilkan sesuatu, orang belum nampak nilainya. Tapi masa akan menentukan segalanya,” kongsinya.

FRAN menasihati penyanyi pelapis muda agar membentuk identiti suara tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan cara orang lain.
Perlu ada identiti
Sebagai figura legenda dengan pengalaman merentas dekad, penulis sengaja menguji pandangan jujur pelantun lagu Aku Hanya Pendatang itu mengenai landskap muzik semasa.
Menarik nafas panjang, Fran tidak menafikan setiap penyanyi hadir dengan kekuatan tersendiri, namun tidak semua berjaya meninggalkan kesan mendalam.
“Bagi saya, setiap penyanyi ada kekuatan masing-masing. Ada bagus, ada sederhana. Ada juga bunyinya hampir sama dengan orang lain. Perkara itu memang wujud.
Tetapi yang paling penting adalah gabungan. Bagaimana penyanyi membawa lagu dan bagaimana lagu itu ditulis untuk dirinya. Lirik juga mesti bermakna. Tidak perlu panjang berjela, cukup seperti puisi ringkas tetapi padat rasa. Itu sudah memadai.
“Saya cuma berharap, penyanyi hari ini jangan terlalu mahu kedengaran seperti orang lain. Carilah identiti sendiri. Kadang-kadang mereka terlalu banyak mendengar artis tertentu, lalu mahu jadi seperti itu. Mereka tidak sedar, setiap orang perlu ada warna sendiri,” katanya.
Tambahnya lagi, melodi indah dan vokal mantap atau lembut mampu mengangkat sesebuah karya ke tahap lebih tinggi jika digabungkan dengan tepat.
“Sekarang ramai mahu jadi penyanyi dan penulis lagu sendiri. Mereka mahu mengawal perjalanan seni sendiri. Ada yang berjaya, tetapi bukan semua mampu.
Ada keadaan kita tetap perlukan penulis lagu hebat. Mereka hanya perlukan penyanyi sesuai untuk menyampaikan karya. Bila gabungan itu menjadi, barulah lahir sesuatu yang sempurna,” ujarnya.
Mengimbas zaman kegemilangan dahulu, Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 1987 itu menyifatkan perjalanan seni generasi lama lebih ‘mentah’ tetapi sarat pengalaman berharga.
Dahulu kami menyanyi di kelab, malam demi malam. Lagu orang lain pun kami bawa dengan cara sendiri. Itulah identiti.
“Sekarang ramai bermula dari program realiti atau gaya karaoke. Mereka ikut sahaja arahan tanpa melalui proses kerja keras sebenar. Itu yang saya rasa sedikit hilang dalam seni hari ini,” tutupnya. – HIBGLAM
