DISARAN agar lebih melonjakkan karya berbanding fesyen, penyanyi dan komposer Aina Abdul menegaskan usaha mempromosi lagu secara besar-besaran tidak semudah disangkakan.
Menurut Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, pihaknya berdepan beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan untuk memperluaskan lagi promosi lagu ke pelbagai platform.
“Setiap era dan persembahan yang saya hasilkan datang daripada rasa cinta, seni dan penceritaan. Saya faham ada antara kalian yang mahu lebih fokus dan pendedahan kepada muzik itu sendiri.
“Malangnya, keadaan sekarang tidak semudah dulu. Nak dapat slot untuk promosi pun kadang-kadang memang susah,” katanya menerusi maklum balas di Threads.
Menurut penyanyi lagu Berjauh-an itu lagi, dia menghargai sokongan ramai malah menyatakan kemajuan kerjaya merupakan perkara yang menjadi fokusnya dalam memberi kepuasan kepada pendengar.
“Perkembangan karier sangat penting bagi saya dan saya tidak mahu terus berada di tempat yang sama dari segi kreativiti.
“Saya sangat menghargai maklum balas jujur seperti ini kerana ia datang daripada orang yang benar-benar mengambil berat tentang perjalanan saya.
“Terima kasih kerana terus menyokong dan mempercayai saya,” katanya.
Respons berkenaan adalah balasan terhadap komen seorang peminat yang meminta pihak pengurusan penyanyi berbakat luar biasa itu memikirkan cara lebih efektif mempromosikan lagunya.
“Mungkin kedengaran agak tegas, tetapi sebagai peminat setia, saya benar-benar merasakan bahawa pasukannya perlu lebih proaktif dalam mempromosikan muzik Aina.
“Fesyen dan visual yang mewah sahaja tidak boleh terus menjadi sandaran utama kerana lama-kelamaan orang akan mula menginginkan sesuatu lebih bermakna.
“Muziknya wajar dipromosikan dengan lebih meluas di radio, stesen televisyen, platform penstriman serta pengedaran yang lebih tersusun,” tulisnya.
Menerusi ruangan komen, ramai peminat lain memberikan sokongan agar penyanyi kesayangan mereka terus sukses dalam melonjakkan karier muziknya.
“Teruskan apa yang sedang anda lakukan. Anda kenal diri anda, anda tahu nilai anda,” tulis seorang pemilik akaun Threads. – HIBGLAM
