Janji jangan hilang lagi, aku sayang kau – Janna Nick

PERSAHABATAN  yang pernah terjalin erat antara pelakon Janna Nick dan Azar Azmi kini kembali bertaut selepas kedua-duanya dilihat bersatu semula dalam satu sesi pertemuan penuh emosi.

Dalam masa sama, Janna atau Nurul Jannah Muner, 31, meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dapat menunaikan janji untuk bertemu semula selepas sekian lama mereka terputus hubungan.

Janna turut menitipkan harapan agar Azar tidak lagi melalui fasa sukar selain berdoa rakannya itu mengecapi kebahagiaan serta dimurahkan rezeki,

“Aku dah tunaikan janji aku untuk balik jumpa kau, jadi kau kena tunaikan janji kau juga okey.

Aku tak nak kau lalu jalan yang sama lagi. Semoga Allah limpahkan rezeki kau, bagi peluang yang seronok untuk kau,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Penyanyi lagu Gatal itu turut meminta Azar agar tidak lagi memencilkan diri atau menyepi daripada radar industri seni dan rakan-rakan selepas ini.

“Aku tahu kau penat tetapi tetap kuatkan semangat demi anak-anak.

“Semoga Allah permudahkan urusan kau.

Janji jangan lari dan hilang lagi. Sayang kau,” katanya lagi.

Dalam perkongsian video tersebut, Janna dilihat merancang kejutan sebelum berlari ke arah Azar lalu mereka berpelukan erat.

Dia lebih selesa untuk tidak bertanya lanjut mengenai apa yang terbuku di hati Azar, sebaliknya hanya mahu menikmati waktu bersama dengan mengajak sahabatnya itu makan.

Sebelum ini, Azar tidak dapat menahan sebak apabila dihubungi Janna selepas sekian lama menyepi daripada dunia hiburan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok