‘Jangan bandingkan, dapat suami, anak yang baik juga rezeki’ 

KERAP berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu, terutama berkaitan rumah tangga, Ozlynn Wati tiada sekelumit niat mendabik dada dengan kehidupannya kepada umum.

Ozlynn atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail berkata, semua yang ditulis dalam media sosial hanyalah pendapat yang dilihat relevan dan mungkin boleh dipraktikkan orang lain.

“Setakat ini saya lihat ramai orang suka sebab macam berkait dengan gaya hidup mereka.

Namun, apa yang saya tulis sekadar nak berkongsi bukan nak menunjuk ‘aku bagus’.

“Kalau orang lain ada masalah anak, bergaduh suami isteri, saya pun melalui perkara sama,” katanya kepada HibGlam.

Pelakon berusia 45 tahun itu mengingatkan setiap perkara yang dikongsi bukan untuk diterima ramai sebaliknya sekadar berkongsi berdasarkan pengalaman hidup sendiri.

“Semua yang saya kongsi dalam media sosial adalah kebenaran dan cara hidup sendiri.

Terpulang kepada khalayak untuk terima atau sebaliknya tetapi apa yang bualkan adalah perkara rawak sahaja, tidaklah terlalu mendalam pun,” katanya.

Isteri kepada pelawak dan penyampai radio, Johan itu sempat menitipkan nasihat agar setiap individu yang sudah berkahwin berhenti membanding-bandingkan pasangan sendiri dengan orang lain.

“Kita tak boleh membandingkan pasangan sendiri dengan orang lain termasuk mempersoal kenapa suami orang lain boleh beri macam-macam kepada isteri mereka tetapi kita tidak begitu.

Jangan, sebab tidak sama, setiap orang ada ujian yang Allah beri. Mungkin Dia tak beri hidup mewah tetapi dikurniakan suami dan anak-anak yang baik.

“Jadi, itu adalah antara kemewahan dan rezeki daripada Allah yang ramai tak nampak sebenarnya,” ujarnya.

Anak

Sempat dilayang soalan mengenai kisah cinta anak sulungnya Ariq dengan teman wanita yang menjadi bualan ramai dalam media sosial, Ozlynn memberitahu dia sudah memberi nasihat agar tidak terlalu terbuka berkongsi kepada umum.

Katanya, penegasan tersebut perlu diberikan bagi memastikan maruah keluarga sentiasa terjaga dan hubungan yang terjalin masih berlandaskan agama Islam.

“Alhamdulillah kawan Ariq itu baru memeluk Islam sebelum bulan Ramadan lalu.

Setakat ini dia dalam proses belajar dan beradaptasi tentang batas-batas, perkara yang boleh dan tidak.

“Dia bagus cuma saya selalu tekankan pada dia, jangan peluk Islam sebab cinta tetapi kerana kehendak sendiri dan dia juga banyak belajar tentang terjemahan al-Quran,” jelasnya.

Ozlynn mahu pun Johan juga tidak pernah menghalang anak lelakinya untuk berkawan dengan mana-mana wanita, namun akan sentiasa menekankan mengenai menjaga batas pergaulan.

Dia juga menafikan Ariq dan teman wanita bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat seperti didakwa segelintir pihak dalam media sosial.

“Sebagai ibu, saya tidak pernah menghakimi mana-mana individu yang anak berkawan sebab yang akan tentukan masa depan sendiri adalah mereka.

“Saya selalu nasihat supaya jaga batas, jangan malukan ibu bapa.

Kalau tergelincir sedikit, orang akan mencari salah ditambah pula dia anak selebriti, kami juga akan jadi sasaran sebelum dilabel gagal didik anak.

“Cuma kalau orang cakap sudah ke arah itu (kahwin), belum lagi sebab masing-masing masih belajar,” kongsinya yang kini kembali menghiasi layar perak dengan sebuah filem komedi berjudul Libang Libu.

Libang Libu

Teruja berkongsi mengenai filem Libang Libu arahan Bobby Husaini, Ozlynn menerima tawaran naskhah tersebut disebabkan jalan cerita dan barisan pelakon seperti Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Nabila Huda, Sabri Yunus dan Azhan Rani.

Pemegang watak Yong Leha itu juga bangga dapat membintangi sebuah karya yang mengetengahkan budaya tempatan dan komedi satira yang sangat ‘dekat’ dengan masyarakat.

“Filem ini gila, bayangkan Bobby berjaya gabung 29 pelakon hebat dalam sebuah filem, memang pecah habis.

“Untuk filem ini, tiada apa perubahan perlu dilakukan cuma saya tambah berat badan sebanyak lima kilogram supaya nampak sesuai dengan watak wanita kampung yang kerja di bandar.

“Energi karakter saya juga perlu dikurangkan sedikit memandangkan bergandingan dengan Beto.

“Dia bawa watak abang long, jadi saya perlu mengeluarkan karakter yang kontra,” katanya.

Ozlynn juga mengakui dialog yang banyak menggunakan dialek Perak membatasi dirinya untuk ‘ad-lib’ dalam setiap babak.

Sebab guna dialek Perak, jadi agak sukar untuk saya nak tambah dialog sendiri atau sebagainya.

“Disebabkan itu, saya lebih terkawal, kalau tidak saya liar lakukan ‘ad-lib’,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok