‘Bangga bila lagu yang pernah saya rakam semula ke AJL40’

Personaliti media sosial, Kelly Azman tampil menjelaskan isu video kompilasi lagu saduran yang dikongsikannya baru-baru ini sehingga mengundang kecaman netizen.

Video tersebut memaparkan tiga lagu iaitu Lemah nyanyian Dayang Nurfaizah, Kamu oleh Aina Abdul dan Nurcinta nyanyian Amir Masdi yang berjaya mara ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).

Menurut Kelly, ramai tidak mengetahui bahawa ketiga-tiga lagu tersebut sebenarnya telah lama dirakam sebagai cover olehnya sebelum diumumkan sebagai finalis AJL.

“Lagu-lagu itu sebenarnya saya sudah cover sejak tahun lalu lagi. Cuma ramai yang tak tahu kerana  dibuat sebelum lagu tersebut layak ke AJL,” katanya.

Tambahnya, perkongsian semula video tersebut dibuat sebagai tanda sokongan terhadap karya tempatan yang berjaya mendapat pengiktirafan.

“Saya rasa bangga bila lagu yang saya pernah nyanyikan semula berjaya ke pentas AJL. Sebagai peminat muzik tempatan, ini cara saya tunjuk sokongan kepada artis dan karya mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, Kelly mengakui kecewa apabila usahanya itu disalah tafsir segelintir pihak yang tampil mengkritik.

“Apa yang saya buat ini adalah usaha saya untuk menghargai karya mereka. Jadi bila ada yang kecam, saya tertanya juga apa sebenarnya masalah mereka,” katanya. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok