Bukan hanya silat, Gayong 2 cerminan manusia ‘kotor’

BUKAN semua naskhah berani memikul beban besar, namun filem Gayong 2 memilih untuk tidak bermain selamat.

Gayong 2 hadir dengan semangat ‘angle’ berlainan dengan lambakan karya tanah air sedia ada sementelah bukan hanya mempamerkan tumbukan dan tendangan, tetapi menggali luka, prinsip serta harga sebuah kebenaran.

Seawal babak pembuka, aura serius sudah menyelubungi. Naskhah itu tidak bermain-main. Nada penceritaan tegang, konflik terasa dekat, manakala dunia dicipta penuh kegelapan tersirat.

Jika filem terdahulu berdiri sebagai pengenalan dunia persilatan, kali ini langkahnya lebih berani memasuki wilayah lebih keras, sarat pergolakan batin.

GAYONG 2 menjadi antara karya tempatan yang mendapat pujian ramai pengkritik.

Latar pasca perang menjadi kanvas penting. Di permukaan, Tanah Melayu tampak tenang, namun di balik tirai, racun rasuah mula meresap. Kuasa dan wang menjadi pelindung kejahatan.

Dalam ruang inilah watak Meor Abdul Rahman lakonan Beto Kusyairy digerakkan — seorang pegawai CID terperangkap antara sumpah tugas dan ancaman sistem rosak.

Kekuatan utama Gayong 2 terletak pada pembinaan watak. Meor bukanlah wira kebal tanpa cela tetapi dia manusia, sarat beban, dihimpit dilema.

Setiap keputusan membawa risiko, gerak langkah pula mengundang bahaya. Pergolakan dalaman ini memberi lapisan dramatik cukup kuat, menjadikan perjalanan watak terasa hidup.

KARAKTER Che Som diterjemahkan Nabila Huda dengan berkesan dan penuh keadilan.

Lakonan

Dari sudut lakonan, Beto Kusyairy menyuntik graviti luar biasa. Persembahannya tenang, namun penuh intensiti. Mata berbicara, bahasa tubuh menyimpan rahsia. Dalam diam, penonton dapat merasai tekanan jiwa ditanggung.

Aksi pula hadir bukan semata-mata hiasan. Setiap pertarungan dirancang kemas, tidak berserabut, malah terasa ‘hidup’.

Disokong pula dengan lakonan ‘mega’ Nabila Huda, Syafie Naswip dan Fauzie Laily, semuanya mengalir indah menjadi naskhah sempurna bertaraf antarabangsa.

Lebih penting, aksi tidak berdiri sendiri tetapi bersulam dengan emosi. Bila marah, tumbukan terasa berat. Bila sedih, gerakan menjadi perlahan, sarat makna. Di sinilah filem ini membezakan diri daripada naskhah aksi kosong.

ANTARA babak yang mendebarkan melibatkan pertarungan dalam Gayong 2.

Namun, tidak dinafikan terdapat ruang penambahbaikan. Beberapa bahagian boleh dipadatkan, manakala sesetengah emosi boleh diperdalam agar impaknya lebih menggigit. Struktur cerita juga tidak bergerak lurus, kadangkala menuntut perhatian penuh penonton.

Tema rasuah dan salah guna kuasa menjadi nadi utama. Keputusan itu wajar dipuji. Naskhah tempatan jarang berani menyentuh sisi gelap sistem secara terbuka. Walaupun berlatar masa lampau, mesej terasa dekat dengan realiti semasa.

Keseluruhannya, penulis tidak melihat filem tersebut sebagai pertunjukan silat semata-mata tetapi juga cerminan manusia dalam dunia kotor, sebuah naratif tentang keberanian menentang arus, serta harga mahal bagi sebuah kebenaran.

Bagi penonton mencari aksi semata-mata, Gayong 2 tetap menghiburkan, namun bagi mereka mendambakan makna, naskhah ini menawarkan lebih sebuah pengalaman sinematik penuh rasa, luka dan renungan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok