‘Jangan buat macam tiada aib, kalau terbuka…’

MESKI spekulasi liar berhubung punca keretakan rumah tangga dengan penyanyi Zizi kirana terus hangat diperkatakan, pelakon Yusuf Bahrin memilih untuk tidak ambil pusing setiap tohmahan kerana percaya penjelasannya tidak akan mampu mengubah persepsi negatif umum.

Yusuf atau nama penuhnya Muhammad Yusuf Bahrin, 34, berkata, dia enggan melayan perkara yang menyentuh kehidupan peribadi meski jauh menyimpang dari kebenaran.

“Sebenarnya benda ini berbalik kepada apa orang cakap, kita tak boleh halang apa orang nak tuduh. Nak tegakkan benda betul pun orang masih tak percaya walaupun kita sendiri tahu apa sebenarnya terjadi.

Benda ini tak perlu layan, orang akan terus bercakap. Tak boleh tutup mulut orang, susah.

“Saya tak benci mereka tapi benci perbuatan yang mereka buat. Bercakap tanpa selidik dan tahu benda betul,” katanya kepada HibGlam pada sesi fotografi drama terbaharunya, Anom Soraya, semalam.

Sambung pelakon filem The Lord Musang King itu lagi, dia selesa tidak memberikan sebarang kenyataan bagi mengelakkan fitnah.

“Sebab itu saya tak berapa suka bagi kenyataan perkara  sebegini. Saya faham orang terus bercakap sebab kita sendiri tunjuk (aktiviti) dalam media sosial apa jadi.

Orang buat kenyataan itu ini, bercakap dalam komen dan jadi lebih teruk bila ada ‘palatao’ (serba tahu).

“Itu jadi budaya tak sihat, suka cakap tanpa selidik. Bagi saya tak boleh nak hentikan,” jelasnya.

Tambahnya, perkongsiannya hanyalah sekadar peringatan buat dirinya dan orang ramai agar sentiasa menjaga tutur kata serta tidak terlalu cepat menghukum orang lain.

“Apa boleh buat, saya doakan yang baik, semoga Allah lindung dari fitnah dan tutup aib kita.

Masing-masing ada aib. Selama kita hidup kalau aib terbuka Allah saja nak buka, seorang pun takkan kawan dan rapat dengan kita. ‘

“Allah Maha Baik, dia tutup aib kita. Masing-masing kena beringat macam mana pun kita. Jangan buat macam kita tiada aib dan dosa langsung serta jangan suka cakap fasal orang, buang masa dan tenaga,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, ikatan perkahwinan Zizi atau nama nama penuhnya Nur Fazelah Mad Tahil, 41, dan Yusuf akhirnya terlerai apabila mereka disahkan bercerai talak satu secara raji’e.

Terdahulu, rumah tangga mereka didakwa goyah selepas Zizi dan Yusuf memuat naik foto menyambut Aidilfitri secara berasingan.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 dan tidak dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok