LEBIH sedekad bergelar ibu tunggal, pelakon Norish Karman mengakui ramai jejaka cuba memikat hatinya.
Namun, Norish atau nama asalnya Nor’Ashikin Karman, 52, mengakui menolak beberapa individu atas beberapa faktor termasuk suami orang.
“14 tahun saya jadi ibu tunggal ramai yang masuk meminang.
Saya pernah tolak suami orang, ada juga yang mak dia tak suka sebab saya tidak kaya macam Datuk Vida.
“Ada juga yang nak saya tapi tak nak anak-anak saya, jadi saya tak boleh teruskan,” katanya dalam siaran langsung TikTok bersama usahawan dan pempengaruh Datuk Seri Aliff Syukri, semalam.
Berkongsi lanjut, pelakon drama Spa Q itu mendedahkan insiden perkenalan dengan beberapa individu sehingga dilabel perempuan neraka hanya kerana tidak bertudung.
“Ada mak dia tanya ‘Apa kau dapat kawan dengan dia (Norish), dia miskin, ramai anak’. Mak dia tak suka.
Ada juga yang ketika itu saya belum bertudung lagi, rambut kuning. Mak dia cakap mesti masuk neraka, buat apa cari perempuan neraka, cari perempuan syurga,” ujarnya.
Bagaimanapun, Norish melihat setiap perkara dari sudut positif dan memilih untuk fokus membahagiakan lapan anaknya.
Mungkin Allah kata belum (kahwin semula) lagi. Mungkin jihad saya kepada anak-anak dulu,” tuturnya.
Untuk info, Norish Karman pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir namun bercerai pada 15 Julai 2008.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Haqiem Amany, 27, Muhammad Hady Amieran, 23, Nur Hanyz Amanda, 25, dan Haq Alexander, 15.
Manakala, empat anak angkat pula Hasbi Fadullah, 15, Hasya Farahiya,13, Haziq Fadillah, 12, dan Hazra Farisya, 7. – HIBGLAM
