TAMPIL lebih berani, penyanyi Nadia Rosli kembali mewarnai landskap muzik tempatan dengan single baharu berjudul Aduh Gak Kuat juga kolaborasi bersama artis Indonesia, Ucie Sucita.
Mengikuti selera semasa, karya dikongsikan bukan sekadar menandakan ‘comeback’ atau kepulangannya di persada hiburan, bahkan menyerlahkan sisi lain dirinya yang lebih ceria dan nakal.
“Dalam dunia hiburan yang semakin kompetitif, kemunculan lagu ini memberi gambaran saya tidak sekadar hadir, tetapi tampil bersama identiti segar.
“Sudah pasti Aduh Gak Kuat sandaran untuk kemunculan kali ini selain unik kerana merupakan gabungan elemen hipdut rancak, bertenaga mudah memancing perhatian.
“Karya ini bukan jenis lagu yang hanya bergantung kepada melodi, sebaliknya hadir dengan satu tenaga, mesra pendengar dan cukup sesuai dengan cita rasa generasi digital.
“Dalam erti kata lain, lagu ini punya pakej selain berpotensi mencetuskan fenomena,” katanya.
Sarat elemen
Aduh Gak Kuat nukilan Giant Prayash Trinanda dan Nabil Adesya Putra, yang sebelum ini dikenali menerusi lagu Ngga Dulu, Calon Mantu Idaman dan Kasi Tau Mama malah dari sudut penulisan, lagu ini bijak mengimbangi unsur ringan dan santai dengan elemen komersial yang kuat.
Lagu berkenaan juga digubah bersama Aji Suherri yang bertindak sebagai penerbit dan penyusun muzik.
Akui Nadia lagi, gabungan elemen romantik bersahaja dengan ‘groove’ tarian yang ‘catchy’ susunan Aji Suherri menjadikan Aduh Gak Kuat mempunyai kekuatan tersendiri, termasuk berpotensi menjadi lagu pilihan dalam kandungan video pendek, persembahan pentas dan siaran radio.
“Dari segi tema Aduh Gak Kuat mengangkat konsep ‘love confession’, iaitu tentang seseorang yang jatuh cinta sehingga tidak mampu lagi menyembunyikan isi hati.
“Pendekatannya juga yang tidak terlalu berat atau melodramatik.
Sebaliknya, dibalut dengan lirik lucu dan menggoda menjadikan keseluruhan naratif lagu terasa ringan dan menghiburkan.
Potensi jadi trend
“Antara baris paling mencuri perhatian ialah ungkapan ‘gunting, batu, kertas dulu, kalau aku menang, kita ke penghulu’ iaitu frasa yang jelas membina karakter lagu ini sebagai karya dan mudah menambat perhatian pendengar dengan lembut,” ujarnya.
Akui Nadia, antara kekuatan utama Aduh Gak Kuat adalah susunan irama dan bahagian tertentu yang dilihat cukup berpotensi untuk dijadikan trend.
“Lagu ini ada unsur ‘hype beat’ yang boleh dijadikan trend, terutama bahagian catchy yang sesuai untuk ‘velocity trend’ dalam TikTok. Saya rasa itu antara elemen yang boleh buat lagu ini viral.
“Lagu ini membawa mesej tentang keberanian dan kejujuran emosi dalam meluahkan perasaan bukan sekadar soal diterima atau ditolak, tetapi lebih kepada memberi ruang kepada diri sendiri untuk jujur terhadap apa yang dirasai.
“Sangat penting untuk berani meluahkan perasaan supaya tahu sama ada perasaan itu berbalas atau tidak, termasuk mengelakkan daripada memendam rasa terlalu lama,” katanya.
Bercerita lanjut, Nadia menegaskan tidak menutup ruang untuk bereksperimen dengan pelbagai genre muzik selepas ini.
Keputusan membawakan elemen ‘hipdut’ turut membuktikan dia terbuka dan progresif dalam membina karier seninya.
“Saya terbuka untuk mencuba apa sahaja genre. Saya mahu meneroka sebanyak mungkin supaya terus relevan dan tidak berada dalam zon selesa,” tutupnya.
