‘Sudah halal, hak saya mahu cium pipi, bibir isteri’

TINDAKAN berkongsi video mesra dalam media sosial mengundang kecaman, pelakon dan penyampai radio, Fazziq Muqris tampil memohon maaf selain mengakui keterlanjuran tersebut memberi pengajaran besar buat dirinya dan isteri.

Ujar Fazziq atau nama sebenarnya Muhammad Fazziq Muqris Mohd Shariff, 26, dia memahami reaksi masyarakat meskipun berpendapat perlakuan tersebut tidak melampaui batas sebagai pasangan suami isteri.

Saya tahu perkara ini nampak seperti melampau, tetapi bagi saya tidaklah terlalu keterlaluan. Dia isteri saya, halal buat saya, jadi hak saya untuk mencium pipi atau bibirnya.

“Mungkin dia memuat naik video itu kerana bangga dengan saya sebagai suami. Namun selepas ini kami akan lebih berhati-hati. Jika ramai tidak selesa, kami tidak akan ulangi perkara sama.

“Bagi pihak kami, saya mohon maaf dan akan lebih berjaga-jaga selepas ini,” katanya kepada HibGlam.

Bekas peserta Hero Remaja itu mengakui ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi termasuk yang menasihati dan memaki hamun namun memilih untuk tidak membalas selain menjadikan situasi tersebut sebagai pengajaran.

Setakat ini, tiada mesej peribadi melampau, cuma di ruangan komen memang banyak. Kami ambil sebagai iktibar supaya tidak mengulangi perkara sama.

“Saya juga pesan kepada isteri supaya tidak memberi sebarang reaksi. Jika kita melayan, orang akan rasa menang. Kalau kita diam, perkara itu akan berlalu,” ujarnya pada sidang media pelancaran filem Kata Hati, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, bintang drama Bunga Hati itu tidak menafikan isterinya sedikit terkesan dengan kecaman, namun sebagai suami, dia bertanggungjawab memulihkan emosi pasangan.

Sebagai suami, saya perlu menjaga hatinya. Bila dia sedih, saya akan pujuk dan jelaskan dengan baik.

“Bukan menidakkan perasaannya, tetapi cuba menenangkan dan beri sokongan supaya dia kuat,” tuturnya.

Sebelum ini, video kemesraan pasangan tersebut menjadi bualan hangat selepas dimuat naik sebagai tanda sokongan terhadap penyertaan Fazziq dalam pertandingan kecergasan, Hyrox.

Rata-rata netizen berpendapat aksi bercium di khalayak umum kurang sesuai dipertontonkan biarpun melibatkan pasangan sah.

Untuk rekod, Fazziq mendirikan rumah tangga bersama pempengaruh Sharifah Areeqa pada 22 November tahun lalu selepas berkenalan sejak 2019. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok