SUNGGUH! Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza antara penyanyi paling bertuah. Beliau bukan sahaja memiliki lagu-lagu raya popular, malah pernah memiliki sebuah album lagu raya khas berjudul Anugerah Aidilfitri terbitan 2003.
Gubahan lagu-lagu raya Siti bukan calang-calang. Alunan suaranya mampu menguntum senyuman di bibir pendengar juga membasahkan pipi dengan linangan mata setiap kali Syawal menjelma.
Asbab sering ‘ditekan-tekan’ saban tahun, Siti akhirnya merealisasikan impian peminat dengan menganjurkan Konsert Beraya Dengan Saya Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berlangsung pada 10 April lalu bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
“Ini kali pertama dalam kerjaya saya sebagai seorang penyanyi, saya buat konsert khas, di mana saya menyanyikan semua lagu raya.

PERTAMA kali menjayakan konsert lagu raya, Konsert Beraya Dengan Saya Datuk Seri Siti Nurhaliza dihadiri hampir 3,000 penonton yang rata-rata berbaju raya.
“Andalah (peminat) selalu menekan-nekan tanya bila nak buat konsert lagu raya. Akhirnya tertunai juga impian kalian walaupun perancangan untuk buat konsert ini dirancang dalam masa tak sampai sebulan.
“Saya beritahu suami nak buat konsert ini. Dia cakap biar betul? Ada ke orang nak dengar lagu raya. Dia turut meminta saya menyanyi lagu balada. Tetapi terbukti malam ini, konsert ini ‘sold out’,” katanya.
Lebih indah, seramai 2,400 penonton konsert berkenaan hadir berseri-seri memakai baju raya berwarna-warni.
Sebelum konsert bermula, peminat terlebih dahulu dihidangkan dengan juadah raya di luar dewan persis rumah terbuka.

WAJAH-wajah ceria peminat yang melepaskan keinginan beraya dengan Siti pada hujung minggu lalu.
Konsert pada malam tersebut dibuka dengan lagu Lip Lap Raya. Siti muncul dari pintu masuk dewan menolak kebiasaan penyanyi yang lazimnya muncul dari atas pentas.
Tampil jelita dibaluti busana berwarna fuschia rekaan Rizman Ruzaini, aura Siti terpancar di segenap ruangan.
Selama lebih dua jam, Siti menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu raya terbaiknya yang dibahagikan kepada beberapa segmen.
Lagu-lagu seperti Sesuci Lebaran, Meriah Hari Raya, Bila Hari Raya Menjelma, Anugerah Aidilfitri dan Nazam Lebaran semestinya membangkitkan nostalgia buat mereka yang membesar dengan lagu raya Siti Nurhaliza sejak tahun 1990-an.
Siti sempat membuat penonton berlinangan air mata tatkala mendendangkan lagu Air Mata Syawal dengan penuh syahdu.

TIDAK lokek berkongsi pentas, Siti turut mengundang Aisha berduet dengannya menerusi lagu Raya Nak Ke Mana?
Mencabar vokal
Kata Siti, lagu Air Mata Syawal dicipta khas untuk kelompok yang tidak dapat pulang beraya bersama keluarga tercinta.
Kongsinya lagi, lagu ciptaan Allahyarham Pak Ngah tersebut menjadi lagu raya paling popular sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan apabila ramai rakyat Malaysia tidak dapat pulang ke kampung halaman.
Turut didendangkan adalah lagu raya yang jarang dinyanyikan Siti iaitu Mekar Hari Raya.
Menurutnya, lagu ciptaan Azmeer tersebut merupakan lagu raya paling sukar untuk dinyanyikan.
“Sudah lama saya tak menyanyikan lagu ini. Kali terakhir sebelum saya ada anak lagi.
Bahagian korus lagu ini sangat mencabar. Pencipta lagu ini iaitu Dr. Azmeer turut berada di sini malam ini,” katanya.

SITI menyantuni peminat memeriahkan pentas melakukan cabaran menjayakan tarian Jodoh Lebaran yang trending sepanjang musim Syawal tahun ini.
Usai mempersembahkan lagu tersebut, Siti menerima tepukan dan sorakan gemuruh daripada peminat atas kehebatannya menyampaikan karya berkenaan dengan baik.
Selain menyanyikan lagu sendiri, Siti juga tidak lupa untuk memberikan penghormatan kepada penyanyi-penyanyi legenda dengan mendendangkan lagu-lagu raya popular yang turut menjadi kegemarannya sewaktu membesar.
Antara lagu yang dinyanyikan Siti dengan susunan muzik baharu adalah Menjelang Hari Raya nyanyian asal DJ Dave, Selamat Berhari Raya (Rahimah Rahim), Pulang Di Hari Raya (Noorkumalasari), Dendang Perantau dan Suara Takbir (Tan Sri P. Ramlee), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman) serta Kepulangan Yang Dinanti (Aman Shah).

TIDAK hanya menyanyikan lagu-lagu raya sendiri, Siti menggamit memori dengan mendendangkan lagu-lagu raya klasik malar segar yang diberi nafas baharu seperti Dendang Perantau, Pulang Di Hari Raya dan Dari Jauh Kupohon Maaf.
Zaman ‘budak’
Siti juga sempat berkongsi kisah lucunya kenangan beraya ketika zaman kanak-kanak.
“Sewaktu kecil, ibu Siti akan buat baju raya yang ada banyak poket untuk letak duit raya. Dulu-dulu orang bagi duit syiling. Berat sampai nak terlondeh kain Siti.
Kalau ada rumah yang bagi duit besar, saya pernah pergi sampai dua kali rumah yang sama, tetapi tukar baju lain. Tetapi kantoi pula sebab mak cik tu kenal.
“Iyalah beraya di kuarters polis, mestilah mereka kenal wajah-wajah anak-anak di situ,” kongsinya.
Selain Siti, peminat turut dihiburkan tentang persembahan artis jemputan dengan lagu raya paling popular tahun ini, Aisha Retno. Aisha menggamatkan pentas dengan lagu raya fenomena, Jodoh Lebaran.
Bijak menggunakan ruang, Aisha sempat mengajak Siti melakukan cabaran tarian Jodoh Lebaran yang menggeletek hati penonton. Sempat juga mereka berduet lagu ciptaan Aisha buat Siti iaitu Raya Nak Ke Mana?.
Siti turut tidak melupakan dua artis naungan syarikatnya, Umairah dan Auddra. Kecoh jadinya bila mereka bertiga di atas pentas gabungan tiga generasi iaitu Millennials, Gen-Z dan Alpha.
Satu yang menarik perhatian penulis tentang konsert ini adalah vokal Siti yang kedengaran serupa dengan rakaman asal.
Sistem bunyi konsert ini juga harus diberikan pujian. Tidak bingit, kedengaran jelas dan secukup rasa. Konsert pada malam itu ditutup dengan lagu Beraya Dengan Saya yang merupakan lagu raya baharu Siti tahun ini. – HIBGLAM
