Sony Music beli master, hak milik FMC?

SYARIKAT rakaman tempatan, Malaysia Fantasia Music City atau FMC dikatakan sudah menjual keseluruhan master muzik artis naungan mereka kepada Sony Music Malaysia yang dianggarkan bernilai RM20 juta.

Menurut sumber, proses peralihan tersebut berjalan lancar dan kebanyakan lagu yang dahulunya milik mutlak FMC kini sudah beralih kepada Sony Music.

“Sebab itulah, kalau kalian tengok di Spotify dan Apple Music misalnya, bahagian sumber bukan lagi FMC tetapi Sony Music Malaysia.

Memang sudah jual master bernilai RM20 juta kepada Sony Music. Kebanyakan staff FMC pun sekarang sudah tidak lagi berkhidmat,” kata sumber terbabit.

Di gelanggang media sosial, ramai peminat hairan apabila FMC tidak lagi kelihatan di bahagian kredit kebanyakan katalog muzik yang dahulunya milik mereka.

“Master album-album artis FMC dah beralih ke Sony Music Malaysia ke?

Itulah, aku pun tertanya-tanya memang dah tukar syarikat rakaman ke? Perasan juga kalau aku buka (main) lagu artis FMC di Spotify semua sudah beralih ke Sony Music.

“Rasa-rasanya FMC dah ‘bungkus’ kot — syarikat itu jual semua katalog lagu kepada Sony Music terus,” demikian antara komen peminat di Threads.

HibGlam cuba mendapatkan maklum balas daripada Pengarah Urusan FMC dikenali sebagai CF Ho, namun individu itu enggan memberi komen lanjut.

Minta maaf. Mungkin nanti baru saya jawab soalan-soalan anda. Minta maaf sangat-sangat.

“Buat masa sekarang, boleh berhubung dengan pasukan perhubungan komunikasi (PR) kami,” katanya menerusi pesanan audio WhatsApp.

FMC merupakan salah sebuah anak syarikat kepada Hui Hvang Enterprise Sdn Bhd. yang ditubuhkan pada 1991 sebagai syarikat penerbit yang beroperasi sebagai entiti berasingan bagi pasaran khusus di Malaysia.

FMC merupakan ahli Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) iaitu sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang mewakili pengedaran dan penerbitan rakaman muzik di Malaysia.

Antara artis tempatan yang pernah bernaung di bawah FMC termasuklah Wany Hasrita, Tajul, Haqiem Rusli, Afieq Syazwan dan ramai lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok