‘Rezeki berlakon buat hubungan saya, adik-beradik kembali rapat’

MEMEGANG peranan sebagai abang sulung, pelakon Amir Ahnaf menggalas tanggungjawab menyara adik-beradiknya bagi membantu meringankan beban ibu bapa mereka.

Menurut Amir atau nama penuhnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin, 26, adik-adiknya juga tidak menyangka bakat lakonan yang dimilikinya mampu membantu menyara keluarga sehingga ke hari ini.

“Sebenarnya adik-adik saya beritahu yang mereka terkejut saya akan sampai ke tahap ini dan bersyukur abang mereka tak lupakan keluarga.

Saya rasa disebabkan rezeki berlakon sekarang inilah membuatkan hubungan kami adik-beradik kembali rapat.

“Saya juga percaya doa adik-beradik yang membuatkan saya masih ada di sini. Dengan rezeki yang ada ini, saya boleh terus kongsi dengan mereka juga,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka dan tayangan treler rasmi filem terbaharu lakonannya, Tarung: The Unforgiven di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, bintang filem Kahar: Kapla High Council itu memberitahu tidak pernah menghalang sekiranya adik-adiknya berminat menceburi dunia hiburan.

“Adik saya ada beritahu mereka berminat nak jadi pelakon. Cuma saya dah pesan awal-awal yang menyanyi susah tetapi berlakon lebih sukar.

Tapi saya tak halang kalau mereka nak hadiri uji bakat, peragaan atau menceburi bidang seni, saya okey saja.

“Cuma, saya beri tamparan realiti kepada mereka bahawa industri hiburan ini memang susah, tambahan pula kalau wajah sama dengan saya, memang mencabar,” ujarnya.

Amir juga bakal muncul menerusi filem terbaharu iaitu Tarung: Unforgiven di samping pelakon hebat lain seperti Mierul Aiman, Aedy Ashraf, Bront Palarae, Zul Ariffin dan Azira Shafinaz. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok