Kembali lagi, Fiersa Besari undang Feby Putri, Aisha Retno

MENGOTAKAN janji, penyanyi Indonesia, Fiersa Besari sedia kembali dengan konsert solo terbaharu yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Oktober depan.

Susulan kejayaan persembahan pertamanya tahun lalu, pemuzik, penulis, pempengaruh media sosial dan penyair itu teruja untuk beraksi dalam Konsert Pertunjukan Tunggal Fiersa Besari Berjalan Mundur.

Lebih istimewa katanya, dia bakal ditemani dua figura istimewa yang mempunyai kelompok penggemar tegar iaitu teman senegara, Feby Putri dan penyanyi tempatan, Aisha Retno.

“Dapat kembali ke Kuala Lumpur adalah satu penghargaan buat saya yang berbesar hati mendapat sokongan padu khalayak muzik di negara ini.

“Keterujan peminat membuatkan saya yakin konsert ini bakal menjanjikan pengalaman luar biasa apatah lagi dengan kehadiran dua penyanyi hebat, Febi Puteri dan Aisha Retno,” katanya.

Dibawakan Seraya Group, Fiersa, 39, menyifatkan kemunculan terbaharunya nanti sebagai melunaskan kerinduan peminat terhadap karyanya yang selama ini menemani halwa telinga mereka.

Mengimbas perjalanan anak seni asal Bandung itu, katanya karyanya bertitik tolak daripada episod patah hati yang dicurahkan dalam pelbagai medium seni yang tanpa diduga dapat menembusi pasaran komersial.

“Tidak hanya mengangkat muzik yang beraroma cinta, karya saya menyentuh sisi kemanusiaan dan sosial membabitkan insan serta peristiwa sekeliling,” luahnya.

Tidak hairan apabila kedekatan sentuhannya membolehkan setiap dendangan berada di tempat tersendiri dalam hati penggemar, sekali gus dijangka konsert itu sarat nuansa nostalgia serta apresiasi terhadap karya puitisnya.

Pada konsert berkenaan, sebanyak 18 lagu gabungan pop indie, folk dan alternatif yang membentuk identiti nyanyiannya bakal dipersembahkan termasuk April, Waktu Yang Salah dan Celengan Rindu.

“Persembahan mega itu umpama kupasan pengembaraan saya sepanjang 14 tahun berada dalam arena muzik yang tentu saja turut bersulam emosi galau serta nuansa melankolik.

“Setiap lagu akan dibawakan dengan sepenuh hati kerana saya mahu konsert itu nanti berbekas di ingatan penonton sebagai pengalaman terindah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya Putri berkata, pihaknya menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus bagi pembelian tiket sebagai tanda penghargaan kesetiaan peminat.

Tiket ditawarkan pada harga RM159 (Runtuh), RM198 (Garis Terdepan), RM301 (Juara Kedua) dan RM3,403 (Rumah – VVIP Box untuk lapan orang) menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my.

“Peminat hanya perlu menggunakan kod promo: “FIERSALIVEINKL” ketika membuat pembelian bagi menikmati diskaun istimewa ini,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok