MENJAGA privasi rumah tangga, pelakon dan penyanyi, Erra Fazira mengelak untuk berkongsi hal peribadi mahupun meluahkan perasaan menerusi media sosial.
Erra Fazira atau nama sebenar Fazira Wan Chek, 52, berkata, dia enggan sebarang perkongsian yang tidak perlu mencetuskan salah faham kepada netizen.
“Setiap kita melalui fasa kematangan. Namun sebenarnya sejak dulu lagi saya tidak muat naik hantaran yang boleh menimbulkan tanda tanya.
“Saya faham ada yang berkongsi sekadar untuk meluahkan perasaan. Namun, kadang-kadang ‘like’ atau ‘share’ sesuatu pun boleh mencetuskan persoalan.
Sebab itu saya memilih untuk tidak berkongsi perkara yang tidak menyeronokkan. Di luar sana sudah terlalu banyak perkara toksik, yang tak menyeronokkan, menyakitkan, saya simpan sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis Riang Ria Raya ACGAS 2026 di sebuah hotel Kuala Lumpur, semalam.
Primadona Filem Melayu Alaf Baharu yang ditemani suaminya, Ezwan Zain turut menyatakan kegusaran melihatkan trend masyarakat yang terlampau terbuka berkongsi hal ‘kain dalam’ di laman sosial.
Katanya, keterbukaan tanpa batasan itu disifatkan boleh mengikis sifat malu seseorang individu, sekali gus berisiko memberi impak negatif terhadap sahsiah generasi seterusnya.
“Saya melalui evolusi dunia maya dari zaman My Space sehingga Instagram, X dan sekarang Threads. Sejujurnya saya tidak mengikuti trend di Threads atau platform lain.
“Apa pun, mengingatkan sesama kita adalah tanggungjawab bersama. Jika tiada permintaan, tidak akan ada yang berkongsi perkara seperti itu.
Bagi saya kita perlu ada kesedaran dan rasa tanggungjawab. Dalam Islam sendiri mementingkan sifat malu. Jadi jangan normalisasi trend (dedah aib). Jangan jadi ‘enabler’,” ujarnya.
Sejak mendirikan rumah tangga pada 11 Disember tahun lalu, langkah Erra dan Mr. E menjadi sorotan ramai yang menyifatkan mereka sebagai pasangan manis. – HIBGLAM
