SYAWAL baru sahaja masuk minggu kedua, namun industri hiburan sudah dihidangkan dengan kisah rumah tangga pempengaruh media sosial yang juga anak kepada Abby Abadi dan Norman Hakim iaitu Marissa Dania dan suaminya, Ahmad Aslam.
Kisah pasangan sensasi yang ke mahkamah Isnin lalu bagi pengesahan lafaz cerai dan rujuk menjadi topik hangat netizen sambil mengunyah saki baki kuih raya dalam balang.
Mana tidaknya, setiap yang terlibat dalam kemelut rumah tangga pasangan itu masing-masing galak mengeluarkan kenyataan dalam media sosial.
Bermula dengan Aslam, kemudian Marissa disusuli pula dengan madunya iaitu Umisya sehinggalah ibu Marissa sendiri iaitu Abby Abadi.
Dalam kenyataan awal yang dikeluarkan Marissa atau nama lengkapnya Marissa Dania Hakim Mohamed Nurhakim, 21, dia meluahkan perasaan sebagai isteri kedua yang tidak pernah mendapat hak sebagai seorang wanita bernama isteri.
“Saya sendiri akui salah dan khilaf, sedangkan saya tidak mengganggu atau melakukan sebarang provokasi selepas bernikah.
Malah saya tidak mendapat hak sebagai seorang isteri seperti yang sepatutnya, seadilnya, dan saya juga tidak menuntut apa-apa mahupun berkata apa-apa,” tulisnya dalam Threads.
Selepas saling mengeluarkan kenyataan, akhirnya Marissa mendedahkan dia kini dalam proses berpisah dengan Aslam dan sedang menanti keputusan pengesahan lafaz cerai dan rujuk.
“Perbicaraan kes kelmarin telah ditangguhkan untuk sambung bicara kerana saya belum memberikan keterangan.
“Kami kini dalam proses berpisah dan keputusan akhir bagi pengesahan lafaz cerai dan rujuk adalah cerai.
“Saya harap tiada lagi kenyataan daripada mana-mana pihak. Beri saya ruang dan jangan membuat andaian sendiri serta cepat membuat kesimpulan,” tulisnya.
Membaca pendedahan Marissa, ramai netizen menarik nafas lega kerana akhirnya kemelut rumah tangganya bakal bertitik noktah.
Syabas Marissa. Terbuka luas akhirnya mata dia. Tak berbaloi langsung kau ‘sondol’ Aslam. Semoga dipermudahkan urusan Marissa. Kami sokong kali ini. Awak layak dapat lelaki yang lebih baik,” komen netizen.
Perkara itu turut disambut baik oleh Abby yang berharap agar segala masalah yang melanda anaknya selesai segera.
“Alhamdulillah semoga selesai dengan cepat. Keluarlah cepat daripada segala mimpi ngeri.
“Tolonglah aminkan. Perbaiki apa yang kurang ya dik. Kena lalui hari-hari kelam untuk dapat yang lebih indah lepas tu,” ujarnya.
Marissa dan Aslam hadir di mahkamah bagi prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang dibuat sebanyak dua kali, iaitu pada September 2024 sebelum kembali rujuk dalam bulan sama dan sekali lagi melafazkan cerai pada April 2025 dan difahamkan rujuk sekitar Jun tahun sama.
Pasangan ini bernikah di Thailand pada 27 Disember 2023. Ketika itu, Aslam sudah pun bergelar suami Umisya yang dinikahi pada Julai 2020.
Jika terjadinya lafaz talak sekali lagi ke atas Marissa, maka berakhirlah kisah rumah tangga mereka kerana talak tersebut merupakan talak yang ketiga.
Semoga segala urusan Marissa dan Aslam dipermudahkan Ilahi kerana segalanya bergantung kepada ketentuan Yang Maha Esa walau sudah meletakkan usaha dalam sesuatu perihal.
