DI tengah kesibukan dunia hiburan, masa bersama keluarga sering menjadi kemewahan paling berharga buat seseorang anak seni.
Bagi penyanyi Ernie Zakri, detik bersama insan tersayang menjadi ruang untuk mengisi semula tenaga sebelum kembali menakluk pentas muzik apatah lagi selepas Aidilfitri, jadual seninya akan kembali padat.
Justeru, sesudah lebih seminggu Aidilfitri diraikan, kesempatan cuti seketika digunakan sepenuhnya pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu untuk menikmati momen sederhana bersama suaminya, Syamel serta anak tercinta, Nur Khawla Soleha.
“Kami mengambil inisiatif bercuti lebih kurang seminggu sebelum saya dan Syamel kembali bekerja. Waktu itu memang kami mahu benar-benar meluangkan masa bersama keluarga.
Sebenarnya saya hanya bercuti daripada kerja sahaja. Tidak pergi ke mana-mana pun, cuma mahu menggunakan masa sebaik mungkin bersama keluarga.
“Kami tahu selepas ini jadual kerja akan semakin padat. Jadi kami ambil peluang cuti sekejap untuk tarik nafas dan menikmati masa bersama keluarga sebelum kembali bekerja,” katanya kepada HibGlam.
Menyedari anak perempuan tunggalnya yang mesra dipanggil Lala kini berusia empat tahun serta bakal memasuki alam persekolahan, Ernie berusaha memastikan masa bersama anak sentiasa di sisi walaupun jadual seni semakin mencabar.
“Kalau musim raya dan kebetulan saya atau Syamel ada kerja, biasanya kami akan bawa anak bersama.
Lala akan ikut kami bekerja supaya dia tidak rasa jauh daripada kami. Sekarang dia sudah mula bersekolah, jadi setiap kali ada kesempatan selepas dia balik sekolah, kami akan bawa dia ke tempat kerja.
“Sekurang-kurangnya dia tahu kami sentiasa cuba meluangkan masa bersamanya,” ujarnya.

MAHU dekat dengan anak, Ernie dan Syamel mengambil keputusan untuk membawa puteri kesayangannya ikut bersama ke tempat kerja.
Tambah pelantun lagu Aura itu, sambutan Aidilfitri tahun ini terasa lebih istimewa kerana puteri kesayangannya itu semakin membesar serta mula memahami makna sebenar perayaan tersebut.
“Bila anak semakin membesar, setiap tahun terasa berbeza. Tahun lepas, dia baru tiga tahun, tahun ini sudah empat tahun dan semakin bijak memahami suasana sekeliling.
Dia sudah mula mengenal apa itu Ramadan, kenapa orang berpuasa dan bagaimana suasana raya.
“Semua pengalaman itu sangat bermakna bagi saya sebagai seorang ibu,” kongsinya.
Ditanya mengenai perancangan kerjaya selepas raya, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu berkata, beberapa projek baharu sedang dirancang, namun belum boleh didedahkan kepada umum buat masa ini.
Sebenarnya ada beberapa projek baharu, tetapi saya belum boleh umumkan lagi. Insya-Allah doakan semoga tahun ini akan ada lebih banyak perkara menarik untuk semua peminat.
“Saya tidak mahu berkongsi terlalu awal sebelum semuanya benar-benar berlaku. Tetapi doakanlah semoga ada berita baik dan karya baharu untuk dikongsi tidak lama lagi,” tutupnya. – HIBGLAM
