‘Umur 14, 15 terlalu awal berdikari, tinggal di asrama’

PELAKON Cristina Suzanne menegaskan tidak akan menghantar anak lelakinya, Adrian Noah Faiz, 7, memasuki sekolah berasrama kerana bimbang belum mampu berdikari sepenuhnya.

Menurut Cristina, 41, proses untuk membentuk sikap berdikari sepatutnya berlaku selepas tamat persekolahan.

“Bagi saya kalau dia (anak) nak berdikari, masa yang sesuai adalah selepas tamat zaman persekolahan. Tinggal dan kerja sendiri, itu waktu yang tepat.

“Umur 18 tahun baru sesuai untuk ‘explore’. Kalau umur 14 atau 15, pada saya terlalu awal untuk dia urus serta kawal emosi.

Kalau tinggal di asrama, saya risau berlaku isu buli dan sebagainya. Takut nanti saya pula yang datang ke  sekolah dan marah orang. Tak mahulah dia pula menyampah dengan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat filem Jangkar yang berlangsung di ibu pejabat Metrowealth (MIG) di sini, semalam.

Sambungnya lagi, mungkin segelitir pihak menganggap tindakannya terlalu melindungi anak, namun itu langkah terbaik bagi mengelakkan timbul banyak masalah kemudian hari.

Saya bukan jenis ibu yang ‘overprotective’.

“Lebih kepada risau, jadi sebaiknya kita mengelak serta berjaga-jaga,” ujarnya.

Berkongsi mengenai filem Jangkar arahan Jasong King dan Ayish Shaukat, Cristina menerima tawaran itu kerana tertarik dengan genre epik yang diketengahkan.

Saya bukan pegang watak utama dan terima projek ini kerana sudah lama mengidamkan genre epik.

“Harap penggambaran yang akan bermula pada 7 April depan berjalan lancar,” ujarnya.

Selain Suzanne, Jangkar turut dibintangi Yusof Hashim, Fikry Ibrahim, Noki K-Clique, Alieff Irfan dan Datuk Tarmimi Siregar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok