KISAH dan karya saya lebih dihargai di Amerika Syarikat berbanding negara sendiri.”
Itu luahan penyanyi rap, Zamaera yang memaklumkan karya dan bakatnya lebih dihargai di luar negara berbanding industri seni tempatan.
Menurutnya, kewujudan dan penampilannya sering disalah tafsir oleh segelintir pihak dengan mendakwa dia cuba meniru selebriti kulit hitam.
“Sebagai anak seni, kalian akan sering disalah erti terutama jika orang sekeliling tidak berniat untuk mengenali kalian sebagai seorang artis.
Di Malaysia, ramai melihat saya menghasilkan muzik hip-hop dan menggayakan rambut ‘braids’ serta dakwa cuba menjadi orang kulit hitam,” katanya dalam platform Threads.
Tambahnya, dia tidak pernah dilabel sebagai penyanyi yang melanggar mana-mana budaya di Amerika Syarikat.
“Tetapi di Amerika Syarikat, saya dapat berkongsi budaya dan asal usul sambil membina ruang sendiri dalam dunia hip-hop.
Tiada siapa pun mengatakannya sebagai ‘cultural appropriation’. Kalian saja yang teralu nak acah ‘woke'” ujarnya.
Pada Ramadan lalu, dia menerima kecaman hebat selepas melancarkan single terbaru berjudul Ikan Kekek berikutan penampilannya dalam video muzik didakwa mencolok mata.
Penyanyi dan komposer yang aktif berkarya sejak berusia 17 tahun itu pernah muncul dengan lagu Wanita sekitar 2017 dan kemudian dikenali menerusi Helly Kelly yang menjuarai carta Hitz FM selama enam minggu. – HIBGLAM
