BEKAS personaliti televisyen Dang Suria Zainurdin mengundang perhatian ramai apabila dipercayai selamat mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Malek Rahman semalam.
Meski tiada sebarang pengesahan daripada Dang Suria, Malek menguatkan lagi perkara tersebut dengan memuatnaik foto pernikahan mereka menerusi satu hantaran Threads semalam.
“Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana masih dipanjangkan usia untuk kembali merasai nikmat perkahwinan.
“Semoga ikatan cinta dua hati yang bertaut ini kekal sehingga jannah,” katanya.
Tambah Malek yang pernah mewakili pasukan bola sepak Selangor, dia berharap orang ramai dapat terus menitipkan doa untuk mahligai yang dibina bersama bekas penyampai berita berkenaan.
“Terima kasih kepada semua ahli keluarga, sahabat dunia akhir dan seluruh kelana yang hadir memeriahkan majlis yg penuh barakah ini.
“Doakan kebahagian ini berkekalan hingga akhir hayat. Malek Rahman sudah ‘off market'” katanya lagi.
Menerusi hantaran sama, Malek turut memuatnaik foto mas kahwin yang diterima Dang Suria iaitu sebanyak RM7,000.
Mereka juga dilihat mengenakan busana serba putih pada majlis pernikahan sementara menyarung baju rona sedondon iaitu hitam untuk majlis resepsi.
Sebelum ini, Dang Suria dilaporkan bercerai dengan suaminya, Abu Bakar Atan, pada Oktober 2004, selepas kira-kira empat tahun mendirikan rumah tangga.
Dia juga dilaporkan pernah mendirikan rumah tangga dengan penulis lirik, Ad Samad namun jodoh tidak panjang apabila mereka juga dilaporkan bercerai. – HIBGLAM
