“Hari ini saya berucap bukan sebagai Ahli Parlimen atau pembahas, tapi sebagai lelaki bertuah di bumi.”
Demikian ucapan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menzahirkan kesyukuran dapat memiliki hati penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, sekali gus menjadi tunang wanita itu.
Akuinya, restu kedua-dua orang tua masing-masing membuatkan hubungan mereka mampu berjalan sehingga ke fasa ini.
“Tetapi yang penting adalah pengakhirannya di mana pertunangan daripada saya dan pihak keluarga diterima mama dan ayah Bella.
“Itu paling penting,” katanya berkongsi luahan isi hati di majlis pertunangan mereka di Bamboo Hills Hulu Kelang, hari ini.
Di hadapan 150 tetamu tetamu, lelaki berusia 33 tahun itu turut membuat pengakuan melihat sisi berbeza tunangnya yang tidak diketahui umum.
“Saya dapat melihat sisi yang berbeza, the most exceptional, talented Iron Lady, Bella Astillah. Mungkin ramai kenal Bella di atas pentas, tetapi saya berpeluang melihat sisi lain dirinya.
“Wanita yang tidak pernah faham perkataan penat. Dalam kepenatan itu dia mencari kebangkitan, dalam kejatuhan dia mencari jalan untuk bangkit. Itu yang membuatkan Bella sangat istimewa.
“Kalau ada satu perkataan yang boleh saya rumuskan, dia bukan sekadar Iron Lady, tetapi seorang yang sangat baik. Baik kepada keluarga, kepada keluarga saya, dan lebih penting kepada orang yang dia tidak pernah kenal,” ujarnya.
Menurut Syed Saddiq lagi, hubungan mereka bermula sebagai kawan, dan dari situlah dia mula mengenali keperibadian sebenar Bella selain kagum dengan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada Ayden dan Ara.
“Saya kenal Bella sebagai seorang kawan sebelum saya jatuh cinta dengannya. Bila dia berjumpa dengan orang yang tidak dikenali, walaupun penat selepas berjam-jam bekerja, dia tetap melayan mereka seperti keluarga sendiri. Itu yang membuatkan saya jatuh cinta.
“Apa yang lebih mengagumkan adalah Bella sebagai seorang ibu. Melihat kasih sayangnya kepada anak-anak mengingatkan saya kepada ibu dan ayah saya sendiri. Tiada siapa lebih penting daripada anak-anaknya,” katanya.
Pada pukul 3.35 petang tadi Syed Saddiq mengikat tali pertunangan dengan penyanyi dan pelakon terbabit selepas lebih setahun mereka akrab.
Sebelum itu pada sebelah pagi beliau membuat pengumaman mengesahkan majlis pertunangan mereka, sekali gus menamatkan spekulasi yang bertebaran berkenaan tarikh 28 Mac 2026.
Pertunangan pasangan digelar BASS ini disambut dengan ucapan tahniah daripada netizen terutama yang mengikuti perkembangan mereka sejak akrab sekitar Januari 2025. – HIBGLAM.
