SEBUT sahaja raya, pasti ramai yang membuat persediaan dengan membeli baju, kasut, beg atau apa sahaja barangan baharu untuk digayakan pada Aidilfitri. Semuanya dilakukan demi sebuah hari paling dinantikan, Aidilfitri yang hanya tiba setahun sekali.
Namun, prinsip berbeza diamalkan pelakon Muaz Zabir yang memilih untuk mengitar semula pakaian lama untuk digayakan pada raya tahun ini.
Menurutnya, asalkan pakaian tersebut berada dalam keadaan baik, tiada keperluan untuk membazirkan wang.
“Tahun ini saya tak beli baju sebab tahun lepas pun banyak lagi. Saya kitar semula balik, tidak perlu keluarkan duit, jimat sikit.
“Apa salahnya ulang pakai baju sama? Bagi saya benda itu tak salah selagi tidak koyak. Kalau tengok dalam beberapa majlis, kadang-kadang saya guna sahaja pakaian sama.
“Tak kisah pun, saya rasa macam paling penting adalah jaga personaliti. Selagi tak memudaratkan, tidak koyak dan compang-camping saya rasa okey tiada masalah untuk ulang pakai,” katanya membuka bicara.
Malah, pemilik nama lengkap Muaz Mohamad Zabir itu juga mempunyai alasan kukuh enggan berbelanja besar demi pakaian baharu kerana lebih mengutamakan simpanan untuk masa depan.
“Betul (anggap membazir) sebab saya kedekut sikit untuk diri sendiri. Berjimat-jimatlah sebab kita tak tahu sejauh mana karier kita.
“Kadang-kadang kita takut bulan depan atau dua bulan lagi tiada kerja, kita kena buat simpanan. Jadi, kepada semua juga rajin-rajinkanlah menyimpan,” tuturnya lagi.
Berkongsi mengenai kemeriahan sambutan hari raya, pelakon berusia 29 tahun itu mendedahkan tidak pernah terlepas untuk pulang ke kampung setiap kali menyambut lebaran kerana memegang teguh amanat arwah bapanya.
“Saya memang tak boleh kalau tidak balik kampung sebab dulu arwah abah pernah pesan kalau kerja tapi tak dapat cuti raya, baik berhenti.
“Dia punya semangat kekeluargaan itu sangat tinggi. Sejujurnya waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pun saya balik kampung, apa jadi pun tetap balik kampung sebab dah diajar daripada kecil.
“Kecil-kecil dulu kita memberontak tak nak balik kampung, penat sebab hari-hari ke sana tapi bila besar baru rasa benda ini penting,” katanya yang pulang beraya di Rembau, Negeri Sembilan.
Hilang abah
Bercakap mengenai abah, Muaz mengimbau kembali detik pilu kehilangan sosok penting dalam hidupnya yang meninggal dunia pada tahun 2019.
“Tahun ini raya ketujuh tanpa abah, tetap rasa kekosongan sebab dia penting. Dia orang kedua yang dicari walaupun bukan anak sulung.
“Orang datang rumah nak jumpa dia. Pertama kali ketiadaan dia pada 2019, aura itu hilang.
“Dahulu rumah abah jadi tempat parkir, sekarang kurang kereta. Setiap tahun dah rasa lain,” luahnya.
Dia memberitahu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya seminggu sebelum menyambut bulan Ramadan, sekali gus menganggap tahun tersebut sebagai detik paling luluh dalam hidupnya.
“Ayah kemalangan motosikal, kami agak terkejut ketika itu. Kalau dia sakit, boleh bersedia secara mental tapi ini seminggu sebelum puasa dia kemalangan dan meninggal di tempat kejadian.
“Itu puasa dan raya paling teruklah. Saya akan teringat setiap kali lalu tempat kemalangan.
“Tahun pertama kemalangan, setahun saya tak lalu tempat itu. Saya pusing jauh sikit sebab rasa tak seronok, teringat balik,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Mitos Cinta Akira itu sangat merindui kenangan sering dimarahi arwah bapanya yang kini tidak akan berulang lagi buat selama-lamanya.
“Kenangan paling tak boleh lupa kena marah dengan dia sebab dia suruh tolong kopek dan mesin kelapa tapi saya pergi main mercun.
“Banyaklah kena marah sebenarnya, memori saya dengan dia banyak kena marah. Tapi orang dulu-dulu kata gaduh, inilah yang merapatkan,” tutupnya.
