ENGGAN reputasi terus tercalar, usahawan El Azman menempelak segala dakwaan kononnya perniagaan baju Melayu miliknya mengalami kerugian selepas melantik pelakon Fattah Amin sebagai duta jenama terbabit.
Ujar El atau nama sebenarnya Mohd Hilmi Che Azman, syarikatnya mencatat peningkatan memberangsangkan, malah keuntungan diraih jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
“Tidak sama sekali. Sebelum ini ada dakwaan dalam Threads mengatakan Elrah bakal rugi teruk tahun ini sebab mengambil Fattah sebagai duta.
“Tetapi perkara itu tidak berlaku. Tahun ini, kami mencatat keuntungan lebih besar berbanding tahun lalu.
“Malah, ini kali pertama jualan butik meningkat sehingga 100 peratus sepanjang lima tahun kami beroperasi. Semua duta dipilih memang memberi impak hebat,” katanya.
Selain Fattah, Elrah turut menampilkan beberapa figura berpengaruh sebagai duta termasuk jaguh Muay Thai Johan Ghazali, penyanyi Joe Flizzow, pempengaruh Aya Balqis serta pemain bola sepak Arif Aiman.
Mengulas lanjut, pengasas jenama Elrah itu menyifatkan Fattah sebagai individu profesional serta mudah memberi kerjasama sepanjang tempoh bersama jenama tersebut.
“Fattah memiliki kelompok penyokong tersendiri. Sebaik sahaja diumumkan sebagai duta, ramai tampil menyokong dan membeli produk Elrah.
“Dia seorang lelaki baik dan sangat mudah bekerjasama.
“Sebelum ini mungkin ada pihak memboikot, tetapi selepas penglibatan Fattah, situasi berubah dan sokongan kembali pulih,” ujarnya.
Kenyataan tersebut sekali gus menepis persepsi negatif segelintir pihak selain membuktikan strategi pemilihan duta tepat mampu memperkukuh kedudukan jenama dalam pasaran. – HIBGLAM.
