Jangan buat lawak bab solat, dah basi – Kamal Adli

TIADA kompromi, pelakon Kamal Adli secara lantang menegur tindakan seorang individu yang didakwa menjadikan ibadah solat sebagai bahan gurauan dalam media sosial.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, menegaskan perkara berkaitan ibadah tidak wajar dipermainkan walaupun sekadar berseloroh.

“Jangan buat lawak melibatkan solat, dik. Lawak seperti ini sudah basi.

“Baik cikgu disiplin ambil tindakan,” tulisnya menerusi Threads.

Teguran tersebut hadir selepas seorang pengguna memuat naik video memaparkan dirinya menunaikan solat sebelum terpaksa berhenti secara tiba-tiba apabila barangan di dalam poketnya terjatuh ketika sedang rukuk.

Rakaman itu kemudian dikongsi semula pengguna lain dan disertakan kapsyen berbentuk jenaka sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Di ruangan komen, rata-rata netizen menyokong teguran pelakon drama Dia Imamku itu dan bersetuju bahawa perkara berkaitan ibadah perlu dihormati.

“Betul kata Kamal. Perkara melibatkan ibadah jangan dijadikan bahan lawak.

“Solat perkara serius. Lebih baik jaga adab daripada buat kandungan semata-mata untuk lucu,” tulis beberapa pengguna media sosial.

Bagaimanapun, ada juga segelintir netizen berpendapat video tersebut sekadar situasi spontan tanpa niat mempermainkan agama.

“Rasanya bukan niat hendak menghina, cuma keadaan berlaku secara tidak sengaja,” kata seorang netizen.

Perkongsian tersebut sekali lagi membuka perbincangan mengenai batas gurauan dalam media sosial, khususnya melibatkan perkara berkaitan agama. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok