BAHANG Syawal sering hadir lebih awal daripada kalendar. Seawal Ramadan menjengah, pusat beli-belah mula dipenuhi warna-warni busana raya, manakala media sosial pula sarat dengan perkongsian persiapan Aidilfitri.
Sesetengah orang, keterujaan itu sekadar tradisi tahunan, namun bagi yang lain, perkara tersebut strategi mengurus masa agar Ramadan dapat dilalui dengan lebih tenang.
Bagi pengacara dan pelakon popular Sherry Alhadad pula, persiapan awal bukan sahaja memudahkan urusan, malah memberi ruang menikmati Ramadan tanpa tekanan.
Pun begitu, timbul perdebatan dalam media sosial apabila segelintir agamawan berpendapat keterlaluan membuat persiapan raya seolah-olah mengurangkan penghayatan terhadap Ramadan.
Perbincangan tersebut mengundang pelbagai reaksi masyarakat. Ada bersetuju bahawa Ramadan perlu diraikan dengan penuh kesederhanaan, namun tidak kurang juga melihat persiapan awal sebagai perkara praktikal dalam kehidupan moden.
Mengulas isu tersebut, pemilik nama sebenar Shariffah Mariam Syed Abdullah itu berpendapat tidak menjadi kesalahan sekira orang ramai memilih membeli kelengkapan Aidilfitri lebih awal, asalkan tidak berlebihan dan masih menghormati Ramadan.
“Saya sendiri seawal Ramadan sudah selesaikan semua kelengkapan, termasuk membeli baju raya. Persiapan raya awal tidak bermaksud tidak hormati Ramadan tapi masing-masing ada pendapat sendiri.
“Dulu saya jenis tunggu saat akhir. Baju, tiket kapal terbang, semuanya beli pada saat akhir.
“Sekarang saya lebih selesa siapkan lebih awal kerana saya yang menguruskan keluarga. Pada saya, persiapan awal merupakan satu tindakan bijak,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pengacara Gegar Vaganza itu, setiap orang memiliki cara tersendiri mengurus perbelanjaan menjelang Aidilfitri sama ada memilih membeli awal untuk mengelak kesesakan, mahupun menunggu saat akhir bagi mendapatkan harga lebih murah.
“Ada juga orang suka beli lambat kerana berharap ada jualan murah dan boleh berjimat.
“Sekarang pula banyak barang boleh dibeli secara dalam talian dan terus dihantar ke rumah, jadi semuanya lebih mudah,” ujarnya.
Paling penting kata pelakon drama Khunsa itu, kelebihan melakukan persiapan awal juga terletak pada faktor keselamatan pembelian, khususnya sekiranya barangan dibeli mengalami kerosakan.
“Kelebihan membeli awal ialah jika ada kerosakan, kita masih sempat tukar atau memulangkan semula kepada penjual sebelum sambutan raya.
“Sebenarnya tidak salah buat persiapan awal, tetapi jangan sampai berbelanja melampau hingga lupa diri. Kena berpada-pada dan ukur baju di badan sendiri.
“Beli awal atau lambat bukan masalah, yang penting sentiasa beringat dan bijak merancang perbelanjaan,” tutupnya.
