‘Raya dengan keluarga Fattah dulu, mentua saya penyayang’

DEBAR Syawal kali ini bukan lagi tentang warna baju yang sedondon, tetapi tentang amanah dan cinta yang kini digalas kemas.

Buat seketika, rindu Amira Othman pulang beraya ke pangkuan ayah ibu di Johor juga ditunda dulu.

Sejak berstatus suri dan menantu September tahun lalu, langkahnya kini beralih arah, mendahului syurga suami sebelum kembali mencari aura Syawal di kampung halaman.

Tahun ini menjadi tahun pertama mereka menyambut Ramadan dan Syawal sebagai pasangan yang halal, pemilik nama lengkap Nadia Amira Othman, 33, akui tidak dapat lari daripada rasa teruja.

Mana tidaknya, selama 32 tahun dia beraya bersama keluarga di Johor, tahun ini buat pertama kali dia akan beraya bersama suami iaitu Fattah Amin terlebih dahulu.

Kata Amira sebagai seorang isteri, dia mendahulukan giliran bersama suami untuk raya pertama mereka sebagai pasangan suami isteri.

Kebetulan tahun ini adik saya akan melangsungkan perkahwinan pada bulan Syawal. Jadi saya dan suami sepakat membuat keputusan beraya bersama keluarga suami dulu, kemudian baru pulang ke kampung saya di Johor.

“Saya dan Fattah masing-masing sangat fleksibel. Kami berbincang dengan baik mengenai giliran balik raya. Tiada sedikit perbalahan pun.

Sudah tentu saya rasa teruja untuk menyambut Syawal tahun ini kerana selain bergelar isteri, saya juga bergelar menantu. Saya ‘looking forward ‘ untuk merasai pengalaman beraya bersama keluarga besar suami.

“Keluarga saya juga besar. Jadi saya rasa tiada banyak perbezaan sangat. Raya tahun ini kami lebih kepada menyantuni kaum keluarga. Saya tak sabar nak jumpa saudara mara sebelah suami,” katanya.

MASIH dalam fasa semuanya indah penuh toleransi, Amira setuju beraya dulu di rumah mentua di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Johor menjelang raya keempat nanti.

Tambah Amira, dia akan beraya bersama keluarga Fattah sehingga Syawal keempat sebelum pulang ke kampung halamannya.

Ditanya tentang perasaan apabila kali pertama tidak menyambut Syawal pertama bersama darah daging, kata pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 2013 itu dia belum mampu menzahirkan perasaan tersebut kerana tidak melaluinya lagi.

“Mungkin bila sudah tiba harinya nanti baru saya akan tahu macam mana perasaan itu. Tapi saya rasa okey sahaja. Ibu dan bapa saya pun selalu datang Kuala Lumpur. Jadi kami masih kerap berjumpa.

Suami pun selalu izinkan saya pulang ke Johor untuk melawat ibu dan bapa saya sekiranya ada kelapangan.

“Jadi saya rasa tiada banyak perbezaan pun. Tambahan pula saya memiliki ibu dan bapa mentua yang sangat penyayang,” jelasnya.

Bercakap tentang persiapan Aidilfitri, sejujurnya pelakon drama bersiri Abang Bomba I Love You belum sempat untuk memikirkan persiapan raya kerana terikat jadual kerja yang padat.

Kami berdua sangat sibuk sampai tak sempat nak betul-betul fikir tentang persiapan raya. Baju raya pun kami belum putuskan nak pakai tema warna apa.

“Tetapi saya sudah beritahu suami di penghujung Ramadan nanti saya akan perlahankan kerja seni saya dan akan fokus kepada persiapan raya,” kongsinya.

Bincang Raya satu hadiah

Selama 13 tahun bergelar penyanyi, hanya pada tahun ini Amira mengeluarkan lagu raya berjudul Bincang Raya yang dinyanyi secara duet bersama adiknya Irfan Haris.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan lagu tersebut adalah daripada suaminya sendiri.

“Fattah cakap buatlah lagu raya. Dia suruh saya duet dengan Irfan. Idea ini pun datang ‘last minute’.

Kemudian saya mesej Irfan beritahu dia jom kita buat lagu raya tahun ini. Dia setuju dan mula menghasilkan lagu Bincang Raya bersama seorang lagi adik saya iaitu Haikal Iskandar. Turut bersama dalam penciptaan lagu ini ialah Omar K dan Syazriq,” ujarnya.

KEHADIRAN Amira di sisi Fattah Amin juga bukan sesuatu yang canggung buat Nur Fatima Aisya, anak suaminya menerusi perkahwinan terdahulu bersama Fazura. -SHIDDIEQIIN ZON

Bercerita lebih lanjut tentang Bincang Raya, kata Amira lagu ini ditulis berdasarkan situasi sebenar perbualannya dengan Irfan.

“Irfan selalu tanya saya tahun ini beraya di mana memandangkan saya sudah bergelar isteri. Daripada situ dia jadikan lirik lagu ini.

Bila Irfan bagi saya dengar lagu yang dah siap, saya dapat rasakan lagu ini bakal ‘meletup’,” jelasnya.

Biarpun Fattah tidak berduet dalam lagu ini, namun dia bertindak sebagai pengarah dan pelakon video muzik (MV) Bincang Raya.

“Bila saya bagi Fattah dengar lagu ini, dia tertarik untuk mengarahkan MV lagu ini. Jadi dia berkolaborasi bersama teman baiknya iaitu Khalid Nazri menghasilkan jalan cerita dan mengarah MV ini.

“Sebenarnya suara Fattah ada dlm lagu ini tetapi di bahagian hujung apabila dia ungkapkan lirik ‘tak bolehlah sayang’,” kongsinya.

Amira turut memanjatkan rasa syukur apabila Bincang Raya mendapat sambutan yang baik daripada peminat dan menjadi pilihan untuk dijadikan video oleh pengguna media sosial.

Saya anggap ini adalah rezeki. Kadang-kadang kita keluarkan lagu tetapi tak tahu macam mana penerimaan orang.

“Saya gembira bila ramai yang buat video menggunakan lagu Bincang Raya. Ada dalam kalangan guru, doktor dan sebagainya,”. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok