MELINDUNGI hak pengkarya, Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad tidak mengiktiraf mahupun memberi royalti terhadap lagu dihasilkan daripada teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Menerusi kenyataan media, badan terbabit memperkenalkan Garis Panduan Mengenai AI bagi melindungi, memperjuangkan hak dan menjaga kepentingan pencipta muzik di negara ini.
“MACP menegaskan hak cipta adalah hak eksklusif yang terhasil daripada daya kreatif dan sentuhan manusia.
“Sehubungan itu, garis panduan baharu menetapkan hanya karya asli yang dihasilkan sepenuhnya oleh pencipta manusia layak didaftarkan dengan MACP dan menerima bayaran royalti.
“MACP tidak mengiktiraf sebarang karya yang terhasil sepenuhnya atau sebahagiannya dengan bantuan AI,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, MACP turut merujuk kepada penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI sedang digubal bagi mewujudkan akauntabiliti dan etika, selain memastikan undang-undang sedia ada kekal terpakai.
Badan terbabit menyambut baik inisiatif itu selain memberi komitmen untuk terus memastikan perlindungan terhadap pencipta tempatan terpelihara, selari dengan keperluan mengimbangi kemajuan teknologi.
Pihak berkenaan turut bersedia menyertai sesi libat urus bagi memperkukuh lagip tadbir urus AI, khususnya membabitkan hak cipta karya muzik.
Susulan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali, memaklumkan di bawah Akta Hak Cipta 1987, perlindungan hak cipta hanya diberikan kepada individu berkelayakan dengan karya mesti hasil usaha manusia.
Ini juga menunjukkan karya yang dijana AI tidak layak memperoleh perlindungan hak cipta mengikut undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, KPDN melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kini meneliti keperluan mengemas kini undang-undang berkaitan.
Bagi melaksanakan garis panduan itu, MACP memperkenalkan mekanisme pengesahan mandatori menerusi portal ahli, myKarya iaitu ahli perlu mengesahkan karya didaftarkan asli dan bukan dihasilkan menggunakan AI.
“Sebarang deklarasi palsu membabitkan karya janaan AI akan berdepan tindakan tegas, termasuk pembatalan pendaftaran dan penahanan bayaran royalti,” kata kenyataan itu lagi.
MACP turut menegaskan penggunaan karya muzik dalam latihan atau penjanaan kandungan AI oleh syarikat teknologi berpotensi membabitkan karya dilindungi hak cipta milik ahlinya.
Mana-mana pihak ketiga termasuk syarikat AI, perlu mendapatkan persetujuan bertulis serta memasuki perjanjian lesen dengan MACP sebelum menggunakan repertoir badan berkenaan.
“Penggunaan tanpa kebenaran dianggap sebagai pencerobohan hak cipta dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Komitmen ini bukan menolak teknologi, sebaliknya langkah proaktif memastikan AI tidak merampas hak asasi pencipta muzik,” katanya. – HIBGLAM
