PENDAKWAH selebriti, PU Syed mempersoalkan tajuk filem terbaharu terbitan Skop Productions dan Astro Shaw, Malaikat Malam.
Menurut PU Syed atau nama lengkapnya Syed Mohd Bakri bin Syed Ishak Al-Yahya, 44, judul filem tersebut tidak sesuai dengan jalan ceritanya yang berkisarkan tentang mat rempit.
“Saya nak tanya kepada pihak berkepentingan seperti mufti, sesuaikah filem tersebut diberikan judul Malaikat Malam sedangkan jalan ceritanya berkisarkan tentang rempit.
“Kita tahu para malaikat tidak pernah melakukan dosa walaupun sekelip mata. Kecuali ada kisah yang kita umpamakan seseorang itu seperti malaikat.
“Saya ada terbaca komen dalam YouTube, ada yang bertanya adakah mat rempit berlumba di waktu malam, kemudian mati dan menjadi malaikat.
“Jadi saya nak minta kepada pihak pengarah bolehkah beri jawapan yang tuntas. Sudahkah kalian rujuk kepada pihak autoriti agama tentang penggunaan nama malaikat dalam tajuk filem kalian?,” katanya dalam sebuah video.
Tambahnya lagi, dia menggesa agar pihak penerbit memberikan penjelasan sewajarnya agar tidak terjebak dengan isu akidah.
Filem Malaikat Malam yang diarahkanNazifdin Nasrudin itu dibintangi pelakon terkenal Syafiq Kyle, Tracie Sinidol dan Que Haidar.
Filem itu akan ditayangkan di pawagam tempatan pada 26 Mac 2026. – HIBGLAM
