PEMPENGARUH media sosial, Zhiddin Aziz antara jemaah Malaysia yang terkandas di Tanah Suci susulan konflik ketegangan antara Israel dan Iran yang menjejaskan ruang udara antarabangsa.
Zhiddin atau nama lengkapnya Mas Zhiddin Zhiddan Abdul Aziz, 23, berkata penerbangan pulang ke tanah air membabitkan rombongannya serta ramai lagi jemaah lain dibatalkan akibat peperangan tersebut.
“Tolong doakan kami ya. Penerbangan terpaksa dibatalkan (pada) saat akhir susulan khabar peperangan yang mula berlegar.
“Semoga kita semua berada di bawah lembayung-Nya,” tulisnya dalam Threads.
Menjengah ke ruangan komen, netizen turut mendoakan keselamatan anak bekas pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI), Allahyarham Aziz Desa serta jemaah lain.
“Harap Zhiddin baik-baik saja. Kita doa situasi kembali reda,” kata seorang pengikutnya.
Semalam Iran membalas tindakan Israel yang menyerang Tehran dan beberapa bandar lain, termasuk Isfahan, Qom, Karaj dan Kermanshah.
Kementerian Kesihatan Iran menerusi laman sosial memaklumkan sekurang-kurangnya 60 kanak-kanak maut, manakala 80 lagi cedera apabila roket mengenai sebuah sekolah di selatan Iran.
Gelombang peluru berpandu Iran juga kemudian menuju tapak ketenteraan Amerika Syarikat di Qatar, Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyasarkan pangkalan udara. – HIBGLAM
