‘Kehilangan anak terlalu menyakitkan, semoga Amyza diberi kekuatan’

PELAKON Anzalna Nasir mendedahkan tidak mampu menahan air mata susulan berita pemergian anak sulung kepada aktres Amyza Aznan iaitu Andre Mikail yang menghembuskan nafas terakhir akibat kanser paru-paru, semalam.

Anzalna atau nama lengkapnya Nur Anzalna Md. Nasir, 38, mengakui berita tersebut memberi kesan mendalam terhadap dirinya malah menyifatkan kehilangan anak sebagai ujian perit yang ditanggung seorang ibu.

“Semalam sebelum tidur bersembang dengan suami, tak tahu berapa lama Allah pinjamkan kita usia dan orang  yang kita sayang.

“Kita orang luar pun menangis tak henti setiap kali tengok video. Kehilangan seorang anak yang kita sayang, Allahuakbar terlalu sakit,” katanya dalam Threads.

Pada masa sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut menitipkan doa agar Amyza sekeluarga diberi kekuatan luar biasa untuk menempuh fasa sukar itu.

“Salam takziah buat kak Amyza Aznan sekeluarga. Semoga kak Amyza terus diberi kekuatan.

“Pemergian di bulan Ramadan yang mulia.

“Semoga kita juga dikurniakan pengakhiran yang baik, insha-Allah,” jelasnya.

Terdahulu, jenazah Andre selamat dikebumikan pada pukul 10.45 pagi di Tanah Perkuburan Ukay Perdana selepas disolatkan di Masjid Al Khairiah Keramat AU3.

Sekitar tahun lalu, Amyza mengesahkan Andre, 20, menghidap kanser paru-paru tahap tiga.

Amyza seterusnya sekali lagi diuji pada Ramadan tahun ini apabila anak keduanya,  Adrian Adam, 18, pula disahkan menghidap kanser tulang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok