‘Kena kuat demi ibu, sekarang saya abang sulung’

DALAM duka kehilangan abang tercinta, anak kedua pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam, tabah menerima takdir Ilahi sekali gus membawa semangat Allahyarham Andre Mikhail untuk terus melawan kanser tulang dihidapinya.

Ujar Adrian atau nama sebenarnya Andrian Adam Khairil Izhar, pemergian abangnya memberi kekuatan luar biasa, apatah lagi mereka sepatutnya menjalani rawatan di wad sama sebelum takdir menentukan sebaliknya.

Abang memang bagi saya semangat. Kami sepatutnya sama-sama berada di wad nanti. Tapi Allah dah takdirkan dia pergi dahulu, tak apalah, saya terima.

“Saya reda pemergian abang. Saya anggap ini satu ujian dan takdir. Saya harap Allah merahmati dia dan melindunginya daripada azab kubur serta api neraka.

“Apa pun saya kena kuat untuk keluarga, terutama ibu dan ayah serta adik. Sekarang saya abang sulung,” katanya kepada HibGlam.

Mengimbau detik akhir bersama arwah, Adrian berkata, keadaan Andre ketika itu sudah lemah dan sering berada dalam keadaan mamai.

“Saat terakhir saya bersama dia, arwah seolah-olah di awang-awangan. Bila ditanya, dia macam mengigau. Saya tanya nak makan, dia kata tak nak, mengantuk dan mahu tidur.

Esoknya dia sedar semula, tetapi saya sudah tiada di situ. Kali terakhir dia bercakap dengan nenek, selepas itu dia nazak.

“Saya bersyukur ramai datang. Bagi saya itu anugerah Tuhan, tanda orang mendoakan abang,” ujarnya pada majlis pengebumian abangnya di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, hari ini.

Paling penting katanya, terlalu banyak kenangan bersama arwah untuk diungkapkan, selain percaya Andre sentiasa mahu dirinya menjaga keluarga.

“Memori dengan abang terlalu banyak sampai saya tak mampu ceritakan.

Dia tak sempat pesan apa-apa, tetapi saya yakin dalam hati dia mahu saya jaga ibu, ayah dan adik,” tutupnya.

Terdahulu, jenazah Andre selamat dikebumikan pada pukul 10.45 pagi di Tanah Perkuburan Ukay Perdana selepas disolatkan di Masjid Al Khairiah Keramat AU3.

Andre menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.15 malam Isnin di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.

Februari tahun lalu, Amyza mendedahkan anak sulungnya disahkan menghidap penyakit tersebut, berita yang mengejutkan ramai serta mengundang simpati masyarakat. – HIBGLAM

FARIZ RUSADIO

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok