PELAKON Mimi Lana berkongsi berita duka apabila abang kandungnya, Muhamad Sharul Affandy Zainal Abidin, meninggal dunia pada tengah hari tadi.
Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, memaklumkan pemergian insan tersayang tersebut menerusi perkongsian menyentuh hati dalam media sosial sambil memohon orang ramai menghadiahkan doa buat arwah.
“Allah Maha Besar, Allah Maha Mengetahui segala-galanya. Abang kandung saya, Muhamad Sharul Affandy Zainal Abidin telah kembali ke rahmatullah pada pukul 12.30 tengah hari tadi.
“Saya mohon jasa semua untuk sedekahkan Al-Fatihah buat abang saya. Ya Allah, ampunkan segala dosanya, tempatkan dia dalam kalangan orang beriman serta permudahkan segala urusannya di dunia dan akhirat.
“Adik sayang abang sangat,” kongsinya dalam Threads.
Bintang filem The Experts itu turut meminta doa agar keluarga arwah, khususnya isteri serta anak-anaknya, diberikan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut, apatah lagi berlaku dalam bulan penuh keberkatan.
“Tolong doakan isteri dan anak-anaknya serta seluruh keluarga agar diberikan kekuatan pada bulan mulia ini.
“Yana akan sentiasa ada untuk Sara dan Sulaiman sampai bila-bila. Yana janji,” ujarnya.
Pun begitu, isteri kepada aktor Syafiq Kyle itu tidak menjelaskan punca mahupun asbab kematian abangnya.
Perkongsian tersebut mengundang simpati ramai apabila rata-rata netizen membanjiri ruangan komen dengan ucapan takziah serta doa buat arwah dan keluarga.
“Salam takziah Mimi. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarga tabah menghadapi ujian ini.
“Takziah buat Mimi sekeluarga. Al-Fatihah,” tulis netizen.
Ada juga dalam kalangan pengikutnya menitipkan kata semangat kepada Mimi agar terus kuat, selain mendoakan kesejahteraan anak-anak arwah yang kehilangan tempat bergantung. – HIBGLAM.
