Jangan usik anak kami – Liza Hanim

“Jangan usik anak kami.”

Demikian amaran penyanyi Liza Hanim yang kesal apabila anaknya, Marsya Qistina diperlekeh tidak menyerlah di arena hiburan kesal serta berterusan dibuli di laman sosial.

Katanya, dia tidak menyangka puteri sulungnya itu berhadapan situasi buruk selepas menjuarai program Talk To My Manager (TTMM) sama seperti yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.

“Membaca Instagram Story Marsya sangat menyentuh hati saya kerana saya tahu bagaimana rasanya diejek, dikecam dan dibuli.

“Inilah sebabnya selama bertahun-tahun Shah (suami) dan saya melindungi anak-anak kami daripada industri hiburan.

“Kami tidak mahu mereka melalui kepedihan seperti itu,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Menerusi perkongsian sama, ibu kepada lima cahaya mata itu turut memuat naik semula InstaStory Marsya yang meluahkan perasaan kecewa.

Ujar Liza lagi, penyertaan Marsya dalam TTMM merupakan peluang buat anaknya untuk menonjolkan bakat dalam bidang nyanyian, namun kini terpaksa pula berdepan serangan netizen yang mempertikaikan kemampuannya

“Marsya mewarisi peminat saya, tetapi dia juga terpaksa mewarisi pembenci saya,” katanya.

Liza berkata, Marsya masih berada pada fasa awal sebagai penyanyi, tetapi berdepan tekanan emosi apabila sering dijadikan bahan sendaan sedangkan pada waktu sama mempunyai komitmen terhadap pengajiannya di kolej.

“Marsya baru sahaja memulakan perjalanan dalam bidang nyanyian. Bayangkan keadaan mentalnya apabila diejek dan dipersendakan.

“Dalam masa sama masih bergelut dengan pelajaran yang menuntut komitmen sepenuhnya.

“Yang menyalak itu pernah belajar dan jadi penyanyi tak? Anda tidak berada di tempatnya, jadi anda tidak akan pernah faham,” katanya.

Penyanyi lagu Gelisah Mimpi itu juga berharap tiada pihak merosakkan hubungan Marsya dan rakan-rakannya dalam TTMM dengan melaga-lagakan mereka di media sosial.

“Marsya memang kuat, tetapi dia juga manusia. Begitu juga rakan-rakannya. Hentikan pembulian terhadap mereka,” katanya.

Terdahulu, Marsya, 22, merupakan juara TTMM musim pertama yang turut menyaksikan anak Shuib, Thalita di tempat kedua manakala puteri Sharifah Shahirah, Audra selaku pemenang ketiga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok