MENJADI pilihan Biduanita Negara sebagai rakan duet dalam Konsert Aku Cinta Padamu Siti Nurhaliza 30 Tahun, penyanyi Aina Abdul mengakui terkejut selain terharu dengan kepercayaan diberikan.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, menyifatkan peluang tersebut sebagai detik bersejarah bukan sahaja buat dirinya, malah buat peminat muzik tanah air.
Saya memang terkejut kerana saya peminat Datuk Seri Siti. Bagi saya, itu hari bersejarah untuknya dan beliau berhak memilih sesiapa sahaja.
“Tapi bila dapat tahu saya dipilih, saya terlalu gembira dan pada masa sama sangat gementar,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu Sesaat itu, rasa gugup melampau menyebabkan dirinya beberapa kali melakukan kesilapan ketika sesi latihan, namun Siti sentiasa memberi bimbingan penuh sabar.
Justeru, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu berharap persembahannya mampu membanggakan penyanyi yang diidolakannya sejak kecil itu.
Saya banyak kali buat silap ketika latihan kerana terlalu gementar. Mujur TokTi sentiasa membantu dan membimbing saya untuk menyanyikan lagu tersebut.
“Lagu itu pula antara lagu paling dinantikan peminat untuk dipersembahkan secara langsung, jadi tekanan memang terasa.
“Saya harap TokTi gembira dan bangga dengan saya. Itu sahaja harapan saya,” ujarnya ketika ditemui di belakang pentas Gempak Most Wanted Awards, malam tadi.
Ditanya mengenai perubahan penerimaan peminat penyanyi lain terhadap dirinya sejak kebelakangan ini, pemenang Lagu Terbaik Anugerah Industri ke-24 (AIM24) itu mengakui tidak terlalu memberi perhatian kepada komen dalam talian baik positif mahupun negatif.
“Saya gembira kalau penerimaan semakin baik, tetapi saya memang tidak terlalu ambil kisah komen netizen sama ada baik atau buruk.
“Mungkin perubahan itu berlaku tanpa saya sedari. Jika benar begitu, Alhamdulillah.
Saya harap orang ramai tetap merindui saya dan terus berminat dengan apa yang saya lakukan. Takut juga kalau semua dah okey, nanti orang dah tak ambil kisah pula,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suhaimi Sulaiman memaklumkan Siti sendiri memilih Aina sebagai antara artis jemputan utama konsert berkenaan.
Untuk rekod, Konsert Aku Cinta Padamu Siti Nurhaliza 30 Tahun telah dirakam dan dijadualkan untuk siaran khas pada awal Aidilfitri nanti, sekali gus menjadi hadiah istimewa buat peminat Biduanita Negara itu. – HIBGLAM
