‘Usah sebar berita tak sahih, ayah saya masih hidup’

 “Masih hidup dan sihat.”

Demikian penegasan penyanyi, Kayda yang berharap desas-desus kematian bapanya juga komposer tersohor, Roslan Aziz dapat dihentikan.

Kayda atau nama sebenarnya Wan Nur Khaleda Roslan, 34, berkata, insan kesayangannya itu kini dalam keadaan sejahtera selepas sembuh daripada kanser limfoma.

Malah akuinya, bapanya itu turut melaksanakan tanggungjawab sebagai wali di majlis pernikahannya pada 2 Februari lalu.

“Bagi mereka yang menyangka ayah saya telah meninggal dunia, dia masih hidup.

“Ya, dia pernah menghidap kanser limfoma tahap empat pada penghujung tahun 2021 tetapi berjaya sembuh.

“Dia juga menjadi wali saya pada hari perkahwinan saya. Kami hargai keprihatinan anda, tetapi mohon tidak sebar berita tidak sahih,” katanya dalam hantaran di Threads.

Sebelum ini penyanyi lagu Keliru itu selamat diijabkabul dengan pasangannya, Muhammad Syafiq Othman, 35, dalam majlis yang dihadiri keluarga serta kenalan rapat.

Roslan, 64, hadir memeriahkan hari bersejarah puterinya itu dengan mengenakan baju Melayu hijau zaitun lengkap bersongkok.

Terdahulu, pengarah muzik terbabit disahkan menghidap kanser limfoma pada Disember 2021 namun doktor mengesahkannya bebas daripada penyakit itu pada Ogos tahun berikutnya.

Kayda merupakan anak sulungnya dengan bekas isteri, Datuk Sheila Majid. Mereka turut dikurniakan seorang anak lelaki, Megat Abdul Majid Aziz. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok