‘Tidak mahu gosip, kutuk-mengutuk, perli-memerli Ramadan ini’

PELAKON Sweet Qismina berharap kehadiran Ramadan beberapa hari lagi dipenuhi dengan perkongsian ilmu untuk manfaat semua muslimin.

Katanya, individu berpengetahuan tinggi boleh menjadikan laman sosial sebagai gelanggang berkongsi perkara baik berbanding membicarakan hal negatif.

“Ramadan,orang yang berilmu tolong kongsikan kisah-kisah macam ini (Islam).

Tidak mahu gosip, tidak mahu kutuk-mengutuk, tiada perli-memerli,” katanya dalam hantaran di Threads.

Isteri kepada pelakon Adam Lee itu turut memuat naik semula hantaran seorang pengguna laman sosial mengenai kisah darah manusia Islam pertama yang tumpah.

Hantaran Sweet menerima maklum balas positif peminat yang sependapat dengannya bahawa Ramadan sebagai bulan menggandakan pahala serta memperbaiki kekurangan diri.

Rata-rata berpendapat perkongsian ilmiah, sejarah dan keagamaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pembaca, bahkan menambah ganjaran pahala.

Setuju 100 peratus, tiada perli-perli. Mari kita terus menuju Ramadan Al Kareem. Positif,” tulis seorang pengguna laman sosial lain.

Bersih daripada gosip liar, Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) itu antara selebriti yang aktif berkongsi hantaran menyentuh isu semasa serta perkara berkaitan industri seni. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok