LALI dengan kecaman, selebriti versatil Didie Alias tidak berkecil hati apabila masih menjadi sasaran kecaman netizen termasuk teguran penampilannya yang tidak berhijab.
Menurut Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohd Ali, 54, setiap kecaman yang dilemparkan kepadanya tidak lagi menjejaskan emosi selain memilih untuk menyekat akaun individu yang disifatkan melampau dalam media sosial.
Setiap kali saya membuat siaran langsung, memang banyak komen negatif. Ada yang masuk ‘live’ dan kecam macam-macam, termasuk kata-kata kasar.
“Saya sudah biasa. Bagi saya senang saja, kalau tak elok, saya sekat. Habis cerita,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada sidang media Puasa Tetap Puasa, Raya Tetap Raya RTM 2026 di sini, semalam.
Ujarnya, kata-kata positif dan semangat daripada anak-anak membuatkannya kuat setiap kali berdepan kecaman.
“Baru-baru ini, saya ada penggambaran untuk sebuah jenama fesyen.
Anak-anak tengok dan mereka kata, ‘cantiknya mummy’. Dalam ‘group’ WhatsApp pun mereka saling mendoakan saya.
“Bagi saya, doa-doa daripada anak itulah yang paling penting,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai harapan ramai yang mahu melihat dirinya berhijrah termasuk memakai tudung, Didie menyerahkan segala-galanya pada Allah SWT selain terus berdoa diberi hidayah.
“Saya percaya semua yang berlaku adalah dengan izin-Nya. Kalau tiba-tiba Allah bukakan pintu baharu untuk saya, itulah rezeki.
Segalanya sudah tertulis di tangan Dia. Setiap hari saya berdoa, minta anak-anak doakan saya juga.
“Mungkin masa saya akan tiba, cuma bila, saya sendiri tak tahu. Insya-Allah,” jelasnya. – HIBGLAM
