PELAKON Datuk Remy Ishak retak tulang rusuk selepas terbabit dalam kemalangan kecil di set penggambaran sebuah filem di Kota Tinggi, Johor.
Menurut pengurusnya, Azlin Abbas, Remy atau nama sebenarnya Muhammad Zalimei Ishak, 44, kini dalam keadaan stabil selepas mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi.
“Untuk makluman, Datuk Remy mengalami kecederaan retak tulang rusuk berikutan insiden kecil di set penggambaran.
“Dia kini sedang menerima rawatan perubatan sewajarnya dan berada dalam keadaan stabil.
“Kami menghargai keprihatinan anda. Terima kasih,” katanya kepada HibGlam ketika dihubungi.
Dalam masa sama, Azlin enggan memperincikan kejadian dan lokasi kemalangan tersebut berikutan permintaan pihak produksi.
Terdahulu, isteri Remy, Ezzarl memohon doa orang ramai susulan suaminya yang mengalami kemalangan di set penggambaran.
“Doakan suami saya, Remy Ishak yang mengalami kemalangan di set penggambaran. Semoga cepat sembuh dan boleh kembali beraksi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
