Kota laknatullah, Al Ula diperhatikan dunia

DALAM aplikasi media sosial, TikTok kini banyak menampilkan konten-konten berkaitan kota Al Ula yang terletak di Arab Saudi.

Malah, ramai pempengaruh dari serata dunia menghasilkan konten kunjungan mereka ke kota itu sehingga video yang dihasilkan mencapai For You Page (FYP) di TikTok.

Kota Al Ula kini telah menjadi satu lokasi pelancongan baharu di Arab Saudi.

Berdasarkan laporan Arab News, kerajaan Arab Saudi telah menghabiskan hampir AS$15 bilion (RM70 bilion) bagi pembinaan semula Al Ula.

Jabal Al-Fil atau Elephant Rock formasi batuan semula jadi yang dibentuk oleh angin dan hakisan air selama berjuta tahun antara tarikan utama di Al Ula.

Pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2035 itu akan menjadikan Al Ula sebagai lokasi peranginan bagi menarik pelancong ke Arab Saudi.

Kota Al Ula juga dikenali sebagai Madain Saleh oleh orang tempatan. Tempat itu dilaknat oleh Allah SWT selepas menurunkan azab kepada umat kaum Nabi Saleh.

 

Menurut laporan daripada portal The Islamic Information, kawasan itu dipenuhi dengan pergunungan besar dan ukiran binaan menakjubkan yang tidak disentuh selama berabad-abad.

Keunikan batu besar, gunung dan seni ukir menjadikan Al Ula titik tumpu pelancong serata dunia ketika ini. -FOTO WWW.TRAVELDIARYPARNASHREE.COM

“Al Ula juga dikenali sebagai Madain Saleh dan menjadi penempatan untuk bangsa Tsamud yang merupakan kaum Nabi Saleh.

“Kaum itu terkenal dengan kekuatan ajaib dan kemahiran membuat ukiran gunung dan binaan yang masih boleh dilihat pada hari ini.

“Dikatakan bahawa kawasan ini dahulunya sangat subur dan menghijau. Ia mempunyai bijiran dan tanaman yang mencukupi setiap tahun.

“Namun, kekayaan alam yang melimpah-ruah ini menjadikan orang kaya dalam kalangan kaum Tsamud sombong dan zalim.

“Mereka juga suka menyeksa dan membunuh orang miskin,” katanya.

Salah satu ukiran batu yang kerap dikunjungi pelancong.

Tambahnya, Nabi Saleh kemudiannya diutus oleh Allah untuk membimbing mereka seperti yang diriwayatkan dalam al-Quran.

Bagaimanapun, kaum itu tidak menerima, sebaliknya mereka mencabar Nabi Saleh menunjukkan mukjizat bagi membuktikan kenabian.

Mereka mencabar Nabi Saleh untuk mengeluarkan seekor unta dari batu berhampiran.

Nabi Saleh berdoa dan keajaiban berlaku apabila seekor unta yang sedang hamil muncul dari batu dengan izin Allah.

Sebahagian daripada mereka mempercayai kenabian Nabi Saleh dan ada juga yang menolaknya.

Mereka telah membunuh unta yang tidak bersalah itu.

Sebagai azab, Allah menurunkan gempa bumi pada tengah malam sehingga menyebabkan semua kaum itu mati.

Dalam surah Al-A’raf ayat 78, Allah berfirman: “Yang tinggal hanyalah bangunan besar dan monumen yang mereka pahat dari pegunungan dan batu, seperti yang kita masih
boleh lihat hari ini.”

Bandar Lama Al Ula yang terkenal dengan rumah bata lumpur purba – FOTO UNESCO/JONATHAN RASHAD

Malah, Nabi Muhammad juga cuba menjauhi Al Ula apabila melalui kawasan tersebut.

Ketika baginda melalui tempat itu untuk ke Perang Tabuk, Nabi Muhammad menunjukkan tempat Madain Saleh kepada para sahabat dan menjadikannya sebagai satu ibrah atau pengajaran.

Baginda memerintahkan para sahabat untuk minum air hanya dari satu perigi yang digunakan oleh unta Hazrat Saleh.

Baginda melarang mereka makan dan minum apa-apa dari kawasan itu dan melaluinya dengan agak cepat.

Sementara itu, gempa bumi besar yang berlaku beribu-ribu tahun dahulu telah mengurangkan lapisan pelindung bawah tanah di kawasan itu.

Terkini, saintis telah menemui satu lubang besar di lapisan ozon atmosfera betul-betul di atas kawasan yang musnah itu.

Ini menjadikan kawasan itu berisiko mengalami kerosakan akibat gempa bumi, sinar ultraungu dan banyak lagi.

Penyelidik bersetuju bahawa tidak selamat kepada manusia untuk tinggal lama di sana.

Hal ini sesuai dengan larangan yang pernah disabdakan oleh Nabi Muhammad tentang tempat itu.

Tempat yang menjadi tanda ibrah, tidak boleh dijadikan lokasi untuk meraikan keseronokan.

Madain Saleh telah menjadi rumah bagi orang-orang yang dibinasakan oleh azab dan kemurkaan Allah.

Tempat itu harus mengingatkan kita tentang Pencipta, keagungan-Nya dan kuasa-Nya.

Selain Al Ula, ada beberapa lagi tempat yang pernah diazab serta dilaknat oleh Allah.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari www.kosmo.com.my – SUMBER K2 KOSMO!

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok