‘Minta beli lauk pun jadi beban, nak isteri tanggung dia’

SUSULAN pendedahan menjadi mangsa keganasan rumah tangga, bekas isteri penyanyi Ejai, Suraya Zainal mendakwa vokalis Azzara Band itu sangat berkira soal nafkah.

Dakwanya lagi, setiap kali minta belikan makanan atau barang dapur pasti akan berakhir dengan pertengkaran.

Soal nafkah dia jenis berkira. Setiap kali saya minta beli lauk akan bergaduh. Dia akan cakap saya bebankan dia, semua nak lepas dekat dia.

“Saya tak minta makan atau hidup mewah cukup asal ada lauk dalam peti ais. Itu pun berat buat dia.

Apa yang saya tak tolong? Rumah sewa bahagi dua bayar, pendingin hawa, tilam, penapis air semua saya bayar tiap bulan.

“Duit belanja mak saya dan mak dia pun saya bagi tiap-tiap bulan. Cuma minta beli lauk pun jadi beban buat dia,” katanya kepada HibGlam.

Pada masa sama, Suraya, 41, mengakui tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri tetapi mendakwa vokalis kumpulan Azarra Band itu mempamerkan imej yang berbeza di hadapan orang lain.

“Demi Allah saya tak pernah abaikan tanggungjawab saya sebagai isteri. Saya tak mengeluh cuma nak dihargai tapi apa yang saya dapat adalah penghinaan.

Saya pun nak suami yang ambil berat dekat saya tapi dia tak buat pun tapi dengan orang sekeliling dan kawan-kawan dia tunjuk sikap mengambil berat serta berlembut.

“Selama ini saya jadi isteri yang sabar sebab fikir nak jaga rumah tangga. Adik-beradik saya tahu dia pukul saya itupun selepas dia halau saya balik Johor Bahru.

Adik-beradik saya nak pukul dia tapi saya tak bagi sebab fikir suami,” ujarnya lagi.

Pendedahan paling mengejutkan adalah dakwaan Suraya bahawa pelantun lagu Alalala Sayang itu menjadikan isteri sebagai modus operandi untuk kepentingan peribadi.

“Dia jadikan isteri sebagai modus operandi untuk tanggung dia. Bila dengan saya, dia tak dapat buat sebab itu dia maki, hina dan pukul sebab dia rasa saya bebankan dia.

Bekas-bekas isteri dia sebelum ini semua tanggung dia sampai berhabis wang ringgit, bergadai dan buat pinjaman semua untuk dia,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Suraya mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang tujuh bulan bergelar isteri  Ejai.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, Suraya mendakwa pemilik nama lengkap Azrizal Mohd. Aziz bertindak mencekik leher, menendang dada dan muka, memijak muka serta membantingnya ke lantai.

Difahamkan, Suraya merupakan bekas isteri keenam Ejai selepas berpisah pada 11 Ogos tahun lalu.

Dakwanya lagi, dia bukanlah mangsa tunggal sebaliknya mendakwa kesemua bekas isteri Ejai sebelum ini turut menerima nasib yang sama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok