Komplikasi apendiks, Amyra Rosli jalani pembedahan

“AMYRA ada komplikasi di apendiks. Dah buat pembedahan, Alhamdulillah”.

Demikian hantaran pelakon, Amar Baharin di laman sosial mengenai keadaan isterinya juga aktres, Amyra Rosli yang selamat menjalani pembedahan, kelmarin.

Amar atau nama lengkapnya Amar Mohd Baharin, 40, bersyukur prosedur pembedahan akibat komplikasi apendiks yang dialami isterinya berjalan lancar.

Malah dia juga berharap belahan jiwanya itu dapat berehat dan cepat sembuh.

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah Kau permudahkan pembedahan isteriku.

“Berehat ye sayang. Dunia dah semakin tenat,” katanya.

Pada hantaran sama, Amar turut menzahirkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesejahteraan Amyra.

Semoga ALLAH membalas kebaikan kamu yang mendoakan dengan kebaikan dan sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian,” ujarnya.

Hantaran pelakon drama Biarkan Ia Pergi itu meraih maklum balas pengikut yang rata-rata menitipkan doa agar ibu kepada dua anak itu cepat pulih.

Bahkan, Amyra yang membalas komen peminat dengan ucapan terima kasih turut menyatakan dirinya baik-baik sahaja.

Terima kasih semua orang atas doa dan ucapan. Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar dan saya kini fokus dalam pemulihan.

“Kepada suami, terima kasih kerana sentiasa bersama dan menjaga saya dengan baik,” katanya.

Menerusi gambar dikongsikan dalam Instagramnya, Amyra difahamkan masih ditempatkan di hospital bagi pemantauan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok