‘Wanita elakkan DM ‘influencer’, artis lelaki atau ustaz’

PELAKON Adam Corrie menitipkan pesanan kepada wanita agar mengelak daripada meluahkan masalah peribadi kepada golongan lelaki.

Katanya, walau sekadar berkongsi cerita atau meminta pandangan menerusi mesej langsung (DM) atau WhatSapp (WA), perkara tersebut boleh mengundang salah faham atau membawa kepada risiko tertentu.

“Jika cik (wanita solo) atau puan (isteri orang) sedang ada masalah, sebaiknya elakkan daripada DM atau PM (mesej peribadi) artis lelaki, influencer lelaki atau ustaz lelaki untuk meluahkan perasaan dan masalah.

Mungkin niat kita sekadar ingin berkongsi atau mencari pandangan, tetapi hakikatnya mereka bukan pihak yang sesuai untuk menyelesaikan masalah peribadi kita,” katanya menerusi platform Threads.

Menurutnya, lebih baik sebarang isu mahupun masalah yang ingin diselesaikan dikongsikan dengan sama jantina seperti kawan atau ahli keluarga sendiri.

Adam yang juga penceramah bebas menyifatkan perlu ada pertimbangan wajar dalam menyelesaikan hal peribadi untuk mengelakkan berlakunya perkara tidak baik.

“Lebih elok kita bercerita dengan rakan sejenis atau individu yang benar-benar dipercayai. Zaman sekarang, macam-macam boleh berlaku.

Kita perlu berhati-hati agar tidak timbul salah faham, niat tidak baik atau perkara yang boleh membawa kepada situasi di luar kawalan.

“Orang ambil kesempatan pun ramai. Nasihat ini pun ditujukan untuk saya,” ujarnya.

Begitupun, pelakon KL Gangster itu menafikan perkongsiannya merujuk kepada kes mahkamah membabitkan pendakwah bebas Da’i Syed.

Minta maaf saya cerita pengalaman saya dan nasihat isteri saya. Bukan isu semasa sekarang,” katanya membalas komen netizen.

Menerusi ruangan komen lain, rata-rata senada dengannya yang berharap golongan wanita lebih peka agar tidak terperangkap.

“Sangat setuju, cerita dengan orang paling rapat. Macam saya lebih selesa luahkan pada adik-beradik perempuan, dengan kawan baik pun tak berani. Takut dia bergosip pula dengan kawan lain. Habis semua orang tau rahsia kita,” tulis seorang pemilik akaun Threads.

Terdahulu, pelakon yang sinonim dengan aksi lagak ngeri itu aktif memuat naik perkongsian berkaitan isu semasa serta pandangan umum berkaitan hal kemasyarakatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok