MENYINGKAP sisi gelap industri hiburan, penyanyi dan pelakon Ieda Moin mendedahkan masih wujud pembuli dalam kalangan anak seni.
Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin, 47, berkata, lingkungan kerjanya ada anasir negatif namun bersyukur ada tempat mengadu apabila pelakon Izara Aishah menjadi pendengar setia.
“Saya sangat menyayangi Izara Aishah kerana dia seorang pendengar yang baik, sangat tegas dan mempunyai budi pekerti yang sangat baik.
Saya akan mengadu kepadanya apabila terasa diri dibuli, dia terus beri nasihat serta beritahu apa yang perlu dilakukan terhadap manusia yang gemar membuli,” tulisnya dalam hantaran di Threads.
Katanya, rakan seperjuangannya itu juga merupakan pelindung yang sentiasa memberikan suntikan semangat kepadanya.
Dalam industri kami juga terdapat ramai pembuli. Sayang awak, dik (adik),” tulisnya ringkas yang turut menyertakan emoji hati.
Perkongsiannya meraih maklum balas pemilik akaun Threads lain senada dengannya selain berharap lebih ramai artis seperti Izara yang lantang melawan gejala buli.
“Memang betullah membuli dalam industri ini memang banyak kan. Dah dinormalisasikan dari dulu lagi,” kata seorang peminat.
Yang nak buli Tokti (Siti Nurhaliza) pun dia bidas. Jangan main-main dengan dia. Orang nak cakap dia rempit ke apa kisah pula dia,” tulis netizen lain.
Sejak kelmarin, industri hiburan panas dengan kisah kemelut lampau membabitkan dua bintang muda, Puteri Balqis dan rakan seindustri, Mia Sara Nasuha.
Balqis atau Aqish, 19, mendakwa pelakon terbabit pernah memperlekehkan ibunya, malah ada dalam kalangan penggiat seni lain juga didakwa melakukan perkara sama.
Namun Izara antara selebriti yang tampil menyuarakan sokongan padu terhadapnya dengan alasan tersendiri terutama apabila merela memiliki kisah hidup yang hampir serupa. – HIBGLAM
